Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat lombong pasir diarah tanggung kos pemulihan air Sg Johor tercemar

Aktiviti perlombongan pasir dijalankan tanpa kawalan benteng yang mencukupi
Nov 5, 2025 | 12:49 PM
pasir, Sungai, Johor, tanggung
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh. - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

Kerajaan Johor mengarahkan syarikat perlombongan pasir yang terlibat dalam insiden pencemaran air mentah di Lembangan Sungai Johor supaya menanggung sepenuhnya kos kerja pemulihan dan pembersihan susulan kejadian itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata insiden yang berlaku pada 31 Oktober berpunca daripada kolam cucian pasir yang pecah akibat pergerakan tanah.

Ini telah menyebabkan peningkatan mendadak paras kekeruhan air kepada 37,400 unit kekeruhan nefelometrik (NTU), berbanding paras normal sekitar 400 NTU.

“Kerajaan Johor memandang serius kejadian ini yang telah menjejaskan operasi beberapa Loji Rawatan Air (LRA) dan menyebabkan gangguan bekalan air di Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kota Tinggi.

“Saya telah mengarahkan semua agensi berkaitan termasuk Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), dan Ranhill SAJ untuk menggerakkan tindakan segera secara bersepadu bagi mengawal keadaan serta meminimumkan kesan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 4 November.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati aktiviti perlombongan pasir darat itu dijalankan tanpa kawalan benteng yang mencukupi sehingga menyebabkan air berlumpur memasuki sistem sungai utama.

Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor telah mengeluarkan Notis Arahan untuk menghentikan aktiviti perlombongan serta-merta, manakala permit bahan batuan syarikat berkenaan turut digantung bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 7A(1)(c) Enakmen Air 1921 (Pindaan 2014) dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kerajaan negeri juga telah mengarahkan syarikat terbabit supaya menanggung kos kerja pemulihan serta langkah pembersihan yang diperlukan, selain akan dikenakan tindakan kompaun mengikut peruntukan undang-undang yang wajar,” katanya.

Encik Fazli berkata setakat 5 petang, 4 November, kadar pemulihan bekalan air keseluruhan telah mencapai 94 peratus melibatkan 201,554 akaun pengguna yang telah kembali menerima bekalan daripada 214,154 akaun yang terjejas sejak insiden berlaku.

“Loji Rawatan Air Semangar telah pulih sepenuhnya, manakala LRA Sungai Johor masih dalam proses pemulihan berperingkat yang menjejas baki 12,600 akaun di kawasan seperti Tebrau, Skudai, Tiram dan Gelang Patah,” katanya.

Bagi membantu pengguna, sebanyak 31 lori air dengan kapasiti keseluruhan 613 meter padu digerakkan setiap hari, termasuk bantuan luar dari Melaka dan Negeri Sembilan yang menghantar bekalan alternatif ke kawasan tekanan rendah.

“Faktor penggunaan mendadak serta simpanan panik pengguna turut menjejaskan paras tangki utama di beberapa lokasi, menyebabkan bekalan tidak selanjar. Namun, bekalan dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh 8 hingga 12 jam bergantung kepada kestabilan tekanan air,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menerima laporan berkala berhubung insiden itu dan telah mengarahkan agar segala langkah pemulihan serta siasatan dijalankan secara telus dan berhemah.

“Kerajaan negeri menegaskan bahawa kelestarian sumber air mesti dijaga dengan penuh tanggungjawab. Walaupun syarikat terlibat merupakan entiti tempatan, tindakan akan diambil secara adil dengan mengambil kira kepentingan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg