Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan kejadian pencemaran air di Ulu Sungai Johor berpunca daripada kerosakan benteng kolam takungan lumpur di kawasan perlombongan pasir, yang menyebabkan air berlumpur mengalir masuk ke sistem sungai utama.
Kejadian yang dilaporkan pada 31 Oktober telah menjejas operasi beberapa loji rawatan air utama termasuk Loji Rawatan Air (LRA) Linggiu, Semangar dan Sungai Johor, selain turut memberi kesan kepada loji air milik agensi air Singapura, PUB.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 2 November, JAS memaklumkan siasatan segera dijalankan pada hari kejadian dan mendapati benteng kolam takungan lumpur yang rosak menyebabkan aliran sedimen masuk ke sungai secara graviti.
“Pihak syarikat terbabit telah mengambil tindakan awal dengan menambak semula benteng yang pecah dan menaikkan paras takungan bagi mengelakkan aliran air berlumpur daripada terus memasuki sungai,” kata JAS.
Jabatan itu turut mengeluarkan ‘Field Citation’ kepada sebuah syarikat bagi mengemukakan laporan terperinci mengenai kerja penambahbaikan benteng yang pecah serta diarah melaksanakan pemantauan berterusan ke atas semua kolam takungan lumpur di kawasan operasi.
Pemantauan bersepadu di lapangan turut dijalankan bersama pelbagai agensi termasuk Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Ranhill SAJ.
“JAS akan meneruskan siasatan terperinci dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut termasuk pendakwaan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127),” katanya.
Menurut JAS, kegiatan perlombongan pasir yang terbabit tidak tertakluk kepada Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) kerana melibatkan kawasan kurang dari 20 hektar.
Namun, tindakan perundangan akan diambil melalui Enakmen Pejabat Tanah dan Galian (Pelesenan) dan peruntukan Akta Span.
JAS turut menegaskan mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran alam sekitar boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 ($155,117) atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, bergantung kepada kesalahan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata proses pemulihan bekalan air di bawah seliaan Ranhill SAJ kini menunjukkan perkembangan positif, dengan semua loji utama telah beroperasi semula sepenuhnya.
Menurutnya, LRA Linggiu sudah pulih 100 peratus dengan 846 akaun pengguna kembali menerima bekalan air.
LRA Semangar juga beroperasi sepenuhnya dengan kadar pemulihan agihan mencapai 91 peratus melibatkan 34,111 akaun yang masih terjejas di kawasan Skudai, Gelang Patah dan Kulai.
“Bagi LRA Sungai Johor, operasi telah dipulihkan 100 peratus manakala agihan bekalan kini pada tahap 43 peratus, dengan 90,629 akaun masih terjejas meliputi kawasan Bukit Indah, Iskandar Puteri dan Ulu Pulai.
“LRA PUB di bawah agensi air Singapura juga telah kembali beroperasi sepenuhnya, dengan 24,662 akaun pengguna masih dalam proses pemulihan,” katanya.
Encik Fazli menjelaskan bahawa Ranhill SAJ sedang melaksanakan proses penstabilan tekanan dan agihan secara berperingkat di semua kawasan terlibat serta menggesa pengguna agar terus berjimat cermat dalam penggunaan air.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg