Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyarikat pusat data guna air Sungai Tebrau untuk penyejukan
Syarikat pusat data guna air Sungai Tebrau untuk penyejukan
JOHOR BAHRU: Syarikat pusat data, DayOne Data Centers Limited (DayOne), telah membangunkan sumber air alternatif menggunakan teknologi rawatan air Sungai Tebrau bagi sistem penyejukan pusat datanya, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air terawat awam.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata inisiatif itu membantu memelihara keterjaminan bekalan air untuk kegunaan rakyat ketika negeri tersebut terus membangunkan sektor teknologi dan ekonomi digital.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan pada 9 November selepas merasmikan Loji Rawatan Air Fasa 2 DayOne di Kempas Tech Park, Johor Bahru.
“Saya menyambut baik usaha DayOne membangunkan sumber air alternatif melalui teknologi rawatan air Sungai Tebrau untuk kegunaan sistem penyejukan pusat data.
“Inisiatif ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air terawat awam, sekali gus membantu memelihara keterjaminan bekalan air untuk kegunaan rakyat,” katanya.
Menurut Datuk Onn Hafiz, kemudahan itu turut dilengkapi tangki simpanan berkapasiti dua juta liter, selain penambahbaikan sistem saliran dan amaran awal banjir bagi manfaat masyarakat setempat.
Dalam aspek pekerjaan, beliau berkata DayOne kini mempunyai 750 pekerja dengan gaji minimum RM4,000 ($1,263) sebulan, termasuk 432 anak Johor.
Syarikat itu menyasarkan peningkatan jumlah pekerja kepada 1,200 orang pada 2027 dan 1,600 orang menjelang 2028.
Datuk Onn Hafiz berkata kerjasama bersama DayOne menerusi MYTalentOne turut berpotensi memperluas latihan kemahiran, pemindahan ilmu dan pensijilan dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
“Saya mahu lebih ramai anak Johor, khususnya pelajar dan graduan tempatan, menguasai kepakaran teknologi baru serta merebut peluang kerjaya berkemahiran tinggi dalam ekonomi digital,” katanya.
Beliau turut menghargai sumbangan RM3 juta ($ 947, 482) daripada DayOne kepada Tabung Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), khususnya bagi menyokong pembangunan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).
Menurutnya, sumbangan tersebut membantu usaha menyediakan pendidikan berkualiti serta melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Datuk Onn Hafiz berharap setiap pelaburan yang dibawa masuk dapat membuka lebih banyak peluang kepada penduduk tempatan dan menyokong pembangunan Johor sebagai hab teknologi bertaraf dunia.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, peluang kerjasama dengan DayOne menerusi MYTalentOne berpotensi memperluas akses anak Johor kepada latihan kemahiran, pemindahan ilmu dan pensijilan dalam bidang AI.
Jelasnya, hubungan antara pembangunan industri dengan pendidikan perlu diperkukuh supaya pelaburan turut membantu menyediakan tenaga kerja tempatan untuk keperluan masa depan.
Menurutnya, kerjasama itu membuka ruang kepada anak Johor untuk mengenali dan menguasai bidang teknologi yang semakin berkembang.
“Pelaburan yang hadir bukan sahaja perlu membawa kemajuan kepada negeri, tetapi juga memberi peluang kepada anak tempatan untuk menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan menjadi sebahagian daripada tenaga kerja masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata penyediaan kemudahan pembelajaran yang lebih baik, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) serta digital, penting untuk mempersiapkan murid menghadapi cabaran dan peluang akan datang.
“Kemudahan pembelajaran yang lebih baik, khususnya dalam bidang Stem dan digital, penting untuk menyediakan anak-anak kita menghadapi cabaran serta peluang pada masa hadapan,” katanya.