JOHOR BAHRU: Johor mahu mempergiat pemadanan perniagaan antara perusahaan kecil dan sederhana (SME) tempatan dengan syarikat besar yang melabur di negeri itu supaya peluang menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dapat diterjemahkan kepada tempahan, pekerjaan dan peningkatan pendapatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata fasa pembangunan seterusnya perlu memberi perhatian kepada penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan pelabur.

Menurutnya, usaha menarik pelaburan tidak berakhir apabila projek diluluskan atau kilang siap dibina, kerana keadaan itu belum menjamin perniagaan tempatan mendapat tempahan.

“Kerja sebenar ialah membawa pelaburan daripada atas kertas ke tapak, daripada tapak kepada operasi, kemudian menukarkan pelaburan itu kepada tempahan, pekerjaan dan pendapatan.

“Hanya apabila kita mencapai tahap itu, pertumbuhan ekonomi benar-benar mempunyai kaitan dengan kehidupan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada 8 Oktober sempena karnival ahli Persatuan Perusahaan Kecil dan Mikro Johor.

Acara yang diadakan bagi tahun ketiga itu menghimpunkan sekitar 500 usahawan, pemimpin perniagaan dan rakan industri, dengan penyertaan lebih 40 jenama serta syarikat tempatan dan kira-kira 10 agensi kerajaan.

Encik Lee berkata sesi libat urus rantaian bekalan, pemadanan perniagaan dan klinik perniagaan antara syarikat tempatan dengan syarikat peneraju sudah mula diatur.

Bagaimanapun, beliau mahu pendekatan itu menjadi lebih bersasar, dengan mengenal pasti keperluan pembelian syarikat besar serta halangan yang dihadapi SME untuk menjadi pembekal.

Sebagai contoh, katanya, pertemuan boleh melibatkan 20 SME yang berkeupayaan dengan lima syarikat besar untuk membincangkan syarat kelayakan, pensijilan, kapasiti pengeluaran, mutu produk, rekod kewangan dan keupayaan penghantaran.

Susulan selepas tiga bulan pula boleh menilai sama ada syarikat tempatan sudah memasuki proses pendaftaran pembekal, mengemukakan sebut harga atau menerima pesanan pembelian.

Beliau berkata pertumbuhan industri pusat data menyediakan peluang dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan elektrik, sistem penyejukan, peralatan kuasa, rangkaian, penyelenggaraan, keselamatan siber serta perkhidmatan pengkomputeran awan.

Johor juga mahu menarik kegiatan berkaitan pelayan komputer, perkakasan kecerdasan buatan (AI) dan keseluruhan rantaian bekalannya.

“Saya berharap suatu hari nanti, apabila orang bercakap mengenai Johor, mereka bukan sekadar berkata Johor mempunyai banyak pusat data.

“Sebaliknya, mereka berkata seluruh ekosistem pusat data dan AI boleh ditemui di Johor,” katanya.

Menurutnya, industri semikonduktor dan peralatan perubatan turut memerlukan pembekal komponen, kejuruteraan ketepatan, automasi, pengujian, pembungkusan serta perkhidmatan khusus.

Namun, peluang itu perlu disokong pembiayaan yang mencukupi supaya SME mampu membeli mesin, mendapatkan bahan mentah dan mengambil pekerja sebelum menerima bayaran pelanggan.

Beliau berkata mekanisme pembiayaan dan pelaburan bersama bagi perusahaan berkaitan JS-SEZ sudah mula tersedia. Langkah seterusnya ialah menghubungkan pembiayaan dengan automasi, pendigitalan, pensijilan dan pemadanan perniagaan.

Dalam pembangunan tenaga kerja, Encik Lee berkata Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) perlu memastikan latihan dirancang berdasarkan keperluan industri beberapa tahun akan datang.

“Makna sebenar JS-SEZ tidak seharusnya sekadar ratusan ribu orang menyeberangi Tambak ke Singapura untuk bekerja setiap hari.

“Kita mahu mereka yang kekal di Johor juga dapat menjalankan perniagaan antarabangsa, mempunyai pandangan antarabangsa dan memperoleh gaji lebih baik,” katanya.