PETALING JAYA: Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang bertindak menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan, menegaskan tidak akan mengosongkan kerusi Parlimen Muar seperti didesak banyak pihak.
Ahli Parlimen Muar itu sebaliknya mencabar pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan untuk meletak jawatan berikutan didakwa gagal mengotakan janji kepada rakyat untuk membanteras rasuah, apabila didakwa membisu mengenai pelepasan tanpa bebas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan jenayah.
Dakwanya, ia bertentangan dengan prinsip yang dilaungkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, untuk membanteras rasuah dan melaksanakan reformasi institusi.
“Jika saya perlu kosongkan kerusi kerana ingin lawan rasuah, saya cadang beli cermin untuk ahli Parlimen atau menteri yang kata perkara tersebut.
“Kalian semua perlu kosongkan kerusi juga. Sejak bila kamu dipilih untuk gugurkan rasuah. Adakah kamu sedia untuk kosongkan kerusi juga?” katanya menerusi siaran langsung di media sosial pada Ahad.
Terdahulu, Syed Saddiq membuat pengumuman di Facebook rasminya mengenai keputusan beliau menarik diri daripada menyokong Kerajaan Perpaduan dan memilih untuk duduk di blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.
“Saya telah berbincang dengan parti dan buat keputusan untuk menjadi pembangkang kuasa ketiga, dan tidak lagi bersama kerajaan hari ini.
“Muda tidak dapat bersama kerajaan setelah beberapa keputusan dibuat baru-baru ini bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang yang dipegang oleh Muda.
“Muda berpendapat keputusan yang dibuat Peguam Negara untuk melepas tanpa membebaskan Datuk Zahid daripada 47 kes rasuah dihadapinya tanpa penjelasan yang meyakinkan, telah mencabar kedaulatan undang-undang dan seharusnya diselesaikan melalui mahkamah,” katanya.
Syed Saddiq berkata walaupun Muda telah membuat keputusan untuk duduk di blok pembangkang sebagai kuasa ketiga, parti itu akan terus komited menyokong usaha kerajaan dalam agenda pembangunan negara progresif yang memerlukan undi dua pertiga dewan seperti agenda reformasi institusi.
Tindakan Syed Saddiq yang juga wakil tunggal Muda dalam Parlimen menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan menyebabkan blok gabungan PH dan Barisan Nasional (PH-BN) hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Blok kerajaan kini mempunyai 147 ahli Parlimen iaitu kurang satu untuk majoriti dua pertiga.
Sementara itu sidang khas Parlimen pada Isnin untuk pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri tumpuan ramai terutama pemimpin kumpulan pembangkang yang ‘meraikan’ tindakan bekas Menteri Belia dan Sukan ketika era kerajaan PH pada 2019.
Dengan keputusan Syed Saddiq itu, difahamkan beliau akan bertukar kedudukan kerusi di blok pembangkang, bagaimanapun beliau menegaskan tidak menyertai Perikatan Nasional.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg