Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syed Saddiq letak jawatan presiden Muda, kekal sebagai AP Muar

Nov 10, 2023 | 2:06 PM
TERHARU: Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semasa sidang media khas partinya, kemudian mengumumkan keputusan berundur sebagai presiden parti, di Petaling Jaya pada Khamis.
TERHARU: Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semasa sidang media khas partinya, kemudian mengumumkan keputusan berundur sebagai presiden parti, di Petaling Jaya pada Khamis. - Foto MALAY MAIL

PETALING JAYA: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan pada Khamis dia memutuskan untuk meletak jawatan sebagai presiden Perikatan Demokratik Bersatu Malaysia (Muda), berikutan sabitan atas pertuduhan rasuah.

Bagaimanapun, Syed Saddiq akan tetap memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen (AP) Muar.

“Saya tidak layak lagi memegang jawatan presiden parti, dan akan mengosongkan jawatan itu dengan serta-merta, sementara saya membersihkan nama saya di mahkamah,” katanya kepada wartawan semasa sidang media di ibu pejabat Muda di sini, pada Khamis.

Timbalan Pengerusi Muda, Cik Amira Aisya Abd Aziz, akan memegang jawatan pemangku presiden parti, ketika rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan kesalahannya dilakukan.

Ketika ditanya sama ada Syed Saddiq akan terus berkhidmat sebagai AP Muar, dia menjawab secara afirmatif.

“Ya, seperti yang diberi taklimat oleh peguam, ada penangguhan pelaksanaan dan penangguhan sabitan,” katanya dipetik media, Malay Mail.

Syed Saddiq berkata dengan kekal sebagai presiden parti akan menggagalkan tujuan Muda sebagai satu parti politik, kerana ia ditubuhkan atas dasar membawa ‘politik baru’ kepada negara, dan kedudukan presiden Muda mestilah telus dan jujur.

Akibat disabitkan kesalahan rasuah berhubung penyelewengan dana milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada pagi Khamis, Syed Saddiq berkata dirinya tidak layak lagi memegang jawatan itu.

Walaupun tidak lagi menjadi presiden parti, dia akan terus menyokong parti dan bekerjasama dengan ahlinya.

“Amira Aisya dan pucuk pimpinan akan memutuskan langkah seterusnya. Muda lebih besar daripada Syed Saddiq, dan jawatan presiden adalah peranan penting dengan ambang yang tinggi.

“Oleh itu, saya merayu untuk membersihkan nama saya di mahkamah, bukan sahaja untuk orang ramai bahkan juga untuk anggota Muda,” katanya.

Cik Amira Aisya berkata keputusan Mahkamah Tinggi itu tidak akan melemahkan Muda, sebaliknya memberi isyarat jelas perjuangannya mesti diteruskan.

Beliau seterusnya berkata perjuangan Syed Saddiq sejak memasuki politik dan perjuangan parti adalah “satu dan sama”.

“Kami akan meneruskan perjuangan untuk memperjuangkan semua institusi berkaitan negara, dasar yang dekat di hati rakyat dan membersihkan politik.

“Kami akan menang walaupun Syed Saddiq mengosongkan jawatannya sebagai presiden parti,” katanya pada sidang media itu.

Syed Saddiq didapati bersalah atas tuduhan rasuah berhubung penyelewengan dana milik Armada — sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) — tempat dia berkhidmat sebagai ketua tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid, berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan terhadap Syed Saddiq.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg