Topik diikuti
Pergi ke BHkuTaiwan tangguh rundingan pelaburan dengan M’sia susuli kenyataan Anwar
Taiwan tangguh rundingan pelaburan dengan M’sia susuli kenyataan Anwar
KUALA LUMPUR: Taiwan mengesahkan pihaknya menangguhkan rundingan pelaburan dua hala dengan Malaysia, menyusuli kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai Taiwan dalam wawancara dengan Al Jazeera pada Ogos lalu.
Jurucakap Kementerian Luar Taiwan, Encik Hsiao Kuang-wei, berkata keputusan yang dibuat pada Oktober lalu itu mengambil kira kedaulatan dan keselamatan ekonomi Taiwan serta bertujuan melindungi hak dan kepentingan pelaburnya.
Beliau menyifatkan kenyataan Datuk Anwar sebagai ‘tidak mesra’ dan berkata ia boleh menjejaskan keyakinan syarikat Taiwan untuk melabur di Malaysia.
“Bagaimanapun, kami terus berhubung dengan pihak Malaysia dan berharap kerajaan Malaysia mengakui hubungan pelaburan yang erat serta kepercayaan bersama yang sudah lama terjalin antara kededua negara, sekali gus membuka ruang untuk menyambung rundingan,” katanya, menurut laporan portal berita Malaysiakini.
Taiwan menduduki tempat keempat dalam kalangan rakan dagang Malaysia pada 2025.
Dagangan barangan antara kedua-dua pihak mencecah RM233.02 bilion ($73.42 bilion), menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (Miti).
Encik Hsiao berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Nikkei Asia pada 9 November.
Laporan itu memetik sumber kerajaan Malaysia yang tidak dinamakan sebagai berkata Taiwan mengetepikan rundingan untuk memperluas dagangan dua hala yang dijadual berlangsung pada penghujung Oktober.
Nikkei Asia turut memetik seorang sumber yang rapat dengan pejabat perwakilan Taiwan di Malaysia.
Sumber itu berkata kepimpinan Taipei ‘benar-benar marah’ dengan kenyataan Datuk Anwar dan mendakwa Kuala Lumpur begitu ‘sedikit atau langsung tidak ada’ menangani kebimbangan Taipei.
Melalui wawancara yang disiarkan pada 16 Ogos, Datuk Anwar menegaskan semula pendirian Malaysia mengenai Dasar Satu China dan berkata beliau melihat Taiwan sebagai sebahagian dari China.
Apabila ditanya jika beliau akan mengecam Beijing sekiranya China menggunakan kekerasan setelah usaha penyatuan secara aman gagal, Datuk Anwar mengambil contoh sebuah negeri di Malaysia yang cuba memisahkan diri.
Datuk Anwar berkata beliau akan cuba menghalang pemisahan itu.
Apabila pengacara bertanya lanjut sama ada beliau akan menggunakan kekerasan atau tidak dalam senario tersebut, Datuk Anwar menjawab ya.
Pada 18 Ogos lalu, Kementerian Luar Taiwan mengecam kenyataan Datuk Anwar dan menyifatkannya sebagai ‘palsu’.
Kementerian itu berkata Datuk Anwar ‘secara tidak munasabah’ memberi gambaran Taiwan sebagai wilayah pemisah China dan secara terbuka mewajarkan pendirian Beijing untuk menggunakan kekerasan bagi mengambil alih Taiwan.
Dua hari kemudian, Datuk Anwar mempertahankan pendiriannya dengan berkata Malaysia mengamalkan Dasar Satu China sejak zaman Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Datuk Anwar dalam masa sama turut menekankan kepentingan mencari penyelesaian secara aman.