KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan tambahan RM5 juta ($1.53 juta) bagi tujuan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah terpilih di seluruh negara sebagai langkah segera mempertingkat keselamatan dan mengurangkan risiko kejadian tidak diingini di institusi pendidikan.
KPM memaklumkan langkah itu adalah sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh kementerian itu bagi memperkukuh keselamatan serta menangani isu disiplin murid di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
“Ia melengkapkan peruntukan awal RM3 juta yang telah diumumkan sebelum ini untuk tujuan sama,” menurut KPM dalam satu kenyataan pada 22 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah berlaku beberapa kes disiplin dan tragik termasuk kes buli, kes rogol dan kes bunuh yang berlaku di beberapa sekolah di negara itu.
Selain itu, seramai 10,096 guru baru termasuk lebih 500 Guru Bimbingan dan Kaunseling akan ditempatkan di sekolah seluruh negara mulai November 2025, bagi membantu memenuhi keperluan semasa dan memperkukuh aspek psikososial murid.
Bagi institusi berasrama penuh, 600 Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa akan dilantik bagi meningkatkan pemantauan keselamatan serta mengurangkan beban tugas warden.
KPM turut memperkukuh Jawatankuasa Pemuafakatan sekolah melalui kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk peranan Pegawai Penghubung Sekolah untuk melaksanakan pemantauan keselamatan di semua institusi pendidikan.
“Dalam masa sama, fungsi Smart Support Team di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan terus diperkasakan bagi menyediakan sokongan psikososial ketika krisis dan guru-guru akan diberikan latihan berterusan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan di sekolah,” kata kenyataan itu.
KPM juga menegaskan peranan Pengetua, Guru Besar dan Jawatankuasa Disiplin sekolah akan terus diperkasakan dalam menangani kes disiplin, termasuk kuasa untuk merotan, menggantung atau membuang sekolah mengikut peraturan sedia ada.
Pengetua dan Guru Besar boleh menurunkan kuasa kepada guru-guru tertentu untuk mendisiplinkan murid berdasarkan keperluan, sementara peraturan disiplin murid kini sedang digubal semula.
“KPM menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan untuk terus bekerjasama bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran yang selamat, sihat dan berdisiplin di setiap institusi pendidikan,” menurut KPM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg