SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Tanjung Piai berwajah baru, produk pelancongan Johor terus diperkasa

Tanjung Piai berwajah baru, produk pelancongan Johor terus diperkasa

Apr 13, 2026 | 2:07 PM

Tanjung Piai berwajah baru, produk pelancongan Johor terus diperkasa

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan), menanam benih pokok bakau ketika melawat Taman Negara Tanjung Piai, Pontian.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan), menanam benih pokok bakau ketika melawat Taman Negara Tanjung Piai, Pontian. - Foto FACEBOOK SHAHROL AZIZIE AZMI

PONTIAN (Johor): Taman Negara Tanjung Piai kini tampil berwajah baharu, hasil projek naik taraf infrastruktur bernilai RM3.3 juta ($1 juta) yang telah siap sepenuhnya.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menjelaskan bahawa penaiktarafan ini merangkumi Galeri Piai yang diperbaharui, laman tiba yang lebih menarik, kedai cenderamata, serta kemudahan asas seperti tandas dan surau, semuanya demi keselesaan dan pengalaman pengunjung yang lebih teratur.

“Keunikan Tanjung Piai terserlah bukan sahaja sebagai titik paling selatan tanah besar Asia, tetapi juga melalui keindahan ekosistem paya bakau serta hidupan uniknya seperti ikan belacak, yang menjadi daya tarikan istimewa,” katanya dalam satu kenyataan pada 13 April.

Beliau menambah, lokasi ini menawarkan pengalaman unik; pengunjung dapat menikmati pemandangan tiga negara – Malaysia, Singapura, dan Indonesia – dalam satu pandangan mata, menjadikannya destinasi yang wajib dikunjungi.

Taman negara ini, katanya, bukan sekadar tempat ekopelancongan, malah sebuah ruang pendidikan yang menyemai kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara alam sekitar.

“Sempena Tahun Melawat Johor 2026, Tanjung Piai berdiri sebagai antara lokasi tumpuan utama, bukan sekadar indah, tetapi sarat dengan nilai dan cerita yang melambangkan kekayaan alam semula jadi negeri ini,” ujarnya.

Datuk Onn Hafiz turut menyatakan bahawa harga tiket kekal berpatutan, memastikan ia dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, termasuk kemasukan percuma untuk kanak-kanak bawah enam tahun dan golongan orang kurang upaya.

Dalam lawatan yang sama, beliau sempat singgah bersarapan di Kopi Tenggek, sebuah tarikan tempatan yang semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, keistimewaan kedai kopi ini terletak pada kaedah penyediaan kopinya yang unik, menggunakan penapis khas yang “ditenggek”, menghasilkan rasa yang lebih pekat dan beraroma.

“Hidangan sampingan seperti keropok lekor dan roti bakar melengkapkan pengalaman sarapan yang ringkas, tetapi meninggalkan kepuasan,” akhirnya.

Beliau menambah, lokasi seperti itu menyingkap kekuatan sebenar masyarakat setempat yang utuh memelihara identiti sederhana dan asli, sekali gus memperkaya pengalaman pelancongan yang lebih menyeluruh.

“Tempat sebegini bukan sekadar ruang menjamu selera, tetapi nadi yang menghidupkan suasana kampung dan budaya Johor,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Datuk Onn Hafiz menegaskan kerajaan negeri amat prihatin terhadap isu keselamatan Jambatan Sungai Pulai, laluan vital yang menghubungkan beberapa kawasan termasuk Kukup.

Beliau menjelaskan, jambatan yang dibuka pada Januari 2023 itu mengalami mendapan serius melebihi 300 milimeter, kurang enam bulan selepas mula beroperasi.

“Punca utama dikenal pasti berakar daripada ketidakstabilan struktur tanah dan kaedah pembinaan asal yang menggunakan sistem ringan, kurang sesuai dengan keadaan tapak,” ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Kerja Raya dan pemaju melaksanakan kaedah pembaikan yang lebih kukuh demi menjamin keselamatan pengguna.

“Kerja pembaikan dijangka bermula Jun 2026 dan disasarkan siap sepenuhnya pada tahun 2027,” maklumnya.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada ketika melalui laluan tersebut serta mematuhi arahan keselamatan yang ditetapkan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg