Zoo Malam Johor dibuka 27 Mac, tarikan baru pelancongan negeri
Zoo Malam Johor dibuka 27 Mac, tarikan baru pelancongan negeri
Ia akan tampilkan lebih 35 spesies baru, dan beri pengalaman unik kepada pengunjung untuk selami dunia haiwan nokturnal di bawah sinaran suasana malam
Johor bakal melancarkan tarikan pelancongan terbaru yang unik apabila Zoo Malam Johor membuka pintunya kepada umum mulai 27 Mac ini, menjanjikan pengalaman melihat haiwan yang berbeza pada waktu malam.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menyatakan inisiatif itu selaras dengan hasrat Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, untuk melonjakkan Zoo Johor sebagai mercu tanda pelancongan utama negeri.
Projek naik taraf bernilai RM8.73 juta ($2.84 juta) itu merangkumi penambahbaikan sistem saliran, pembentungan, pencawang elektrik, serta pencahayaan, bagi mewujudkan suasana lebih selesa dan selamat.
“Zoo Malam ini akan menampilkan lebih 35 spesies baru, dan memberi pengalaman unik kepada pengunjung untuk menyelami dunia haiwan nokturnal di bawah sinaran suasana malam,” katanya dalam satu kenyataan pada 23 Mac.
Zoo Malam akan beroperasi setiap Jumaat hingga Ahad dari 8 malam hingga 11 malam, dengan kemasukan terakhir pada 10 malam.
Harga tiket ditetapkan RM10 bagi warga dewasa, RM5 bagi kanak-kanak berumur lima tahun ke atas serta warga emas, manakala pelancong asing dikenakan RM30.
“Kanak-kanak bawah lima tahun dan pemegang kad orang kurang upaya pula diberi kemasukan percuma,” katanya.
Antara tarikan utama ialah siri pertunjukan memberi makan yang membolehkan pengunjung menyaksikan gelagat semula jadi haiwan ketika waktu paling aktif mereka.
Aspek keselamatan dan kebersihan turut diberi perhatian dengan penglibatan pengawal zoo, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rela, selain rondaan berkala serta penempatan ambulans.
“Pengurusan kebersihan juga dilaksanakan secara berjadual bagi memastikan keselesaan pengunjung,” katanya.
Datuk Onn Hafiz turut mengumumkan Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kini tampil dengan wajah baru, susulan kerja naik taraf menyeluruh dilaksanakan dengan peruntukan melebihi RM13.5 juta.
Menurutnya, pelbagai tarikan baru akan mula dibuka kepada umum bermula 23 Mac termasuk kolam kanak-kanak, flying fox, rope course, taman permainan, laluan alam semula jadi, laman rama-rama serta tapak perkhemahan.
“Hutan Bandar ini dibuka setiap hari dari 7 pagi hingga 7 malam dan disasarkan mampu menarik sehingga 2,000 pengunjung setiap hari,” katanya.
Kemasukan ke kawasan tersebut adalah percuma, namun beberapa aktiviti tertentu dikenakan bayaran mengikut kategori.
Sempena pembukaan semula ini, aktiviti flying fox dan rope course akan ditawarkan secara percuma selama sebulan.
Usaha itu adalah sebahagian inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasa produk pelancongan sempena Tahun Melawat Johor 2026.
“Semoga kedua-dua inisiatif ini dapat menarik lebih ramai pelancong dan terus memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan utama negara,” katanya.

