Mungkin jika ditanya apakah yang menarik ditawarkan oleh Muzium Feri Pulau Pinang selain imbauan kenangan, jawapannya adalah bahan dan artifak yang dipamerkan bukan replika.
Sebaliknya, ia adalah asli yang dikumpulkan daripada feri Pulau Pinang serta beberapa feri lama lain yang sudah dilupuskan atau tenggelam.
Keaslian koleksi ini menjadikan muzium terapung itu bukan sekadar ruang pameran, bahkan sebuah dokumentasi hidup merakam sejarah pengangkutan laut yang pernah menjadi nadi perhubungan Pulau Pinang.
Terletak di Pengkalan Weld, George Town, Muzium Feri Pulau Pinang beroperasi di atas sebuah feri ikonik yang telah dipulihkan sepenuhnya, lapor Berita Harian Malaysia.
Struktur feri yang suatu ketika dahulu menghubungkan pulau dan tanah besar kini diberi nafas baru sebagai ruang pendidikan awam dan tarikan pelancongan warisan.
Pengarah Muzium Feri Pulau Pinang, Encik Abdul Hadi Abu Osman, berkata muzium sepanjang hampir 60 meter dengan keluasan kira-kira 600 meter persegi itu mampu memuatkan sehingga 150 pengunjung pada satu-satu masa.
Setiap sesi lawatan dianggarkan mengambil tempoh kira-kira satu jam dan berpotensi menarik sehingga 2,000 pengunjung sehari.
“Feri ini menjalani proses panjang bagi pengubahsuaian dan dijadikan muzium bermula pada awal 2022 selepas menerima tender yang dikeluarkan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) setahun sebelumnya.
“Kerja pemuliharaan akhirnya siap pada tahun lalu (2025), namun feri ini mengalami kerosakan apabila tenggelam akibat masalah teknikal.
“Kerja baik pulih yang dibelanjakan membabitkan kos sebanyak RM7 juta ($2.2 juta) namun berikutan kejadian itu, ia meningkat sehingga RM10 juta,” katanya.
Kata Encik Abdul Hadi, kejadian berkenaan menjadi ujian besar terhadap usaha pemuliharaan, namun kerja baik pulih diteruskan sehingga muzium itu akhirnya dapat dibuka kepada orang ramai.
Justeru, aspek keselamatan menjadi keutamaan dalam pembangunan muzium ini.
Sistem keselamatan feri dipertingkatkan dengan pemasangan konkrit marin, sensor amaran awal serta pam automatik bagi mengelakkan risiko kebocoran.
Langkah itu, katanya, diambil bagi memastikan keselamatan pengunjung serta ketahanan struktur feri dalam jangka panjang.
“Muzium ini diwujudkan sebagai satu usaha memelihara sejarah pengangkutan feri yang ikonik di Pulau Pinang.
“Ia sekali gus memberi peluang kepada generasi kini dan akan datang bagi memahami serta menghargai warisan maritim negara,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg