JOHOR BAHRU: Seramai 115 peserta Kejohanan Dunia Cef berjaya memecahkan Rekod Dunia Guinness bagi barisan tart terpanjang yang telah bertahan selama tujuh tahun.
Rekod itu dicapai menerusi penyediaan tart buah yang dijalankan semasa acara tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini pada 29 Mei.
Kumpulan cef dari 16 negara, termasuk Malaysia, berjaya menghasilkan 4,399 tart buah yang disusun membentuk barisan sepanjang 221.63 meter (m), sekali gus mengatasi rekod terdahulu iaitu 2,333 tart dengan ukuran sepanjang 186.64m yang dicatat di Hong Kong pada 9 Disember 2018.
Percubaan itu diisytiharkan berjaya oleh pegawai pengesah Rekod Dunia Guinness, Cik Sonia Ushirogochi, disambut dengan sorakan dan kegembiraan oleh peserta yang telah menyumbang tenaga serta kemahiran bagi merealisasikan usaha itu, lapor The Star.
Ini merupakan kali ketiga acara Kejohanan Dunia Cef mencatatkan namanya dalam buku Rekod Dunia Guinness.
Pada 2024, kejohanan itu mencipta rekod bagi penyediaan mi goreng gaya Johor terbesar, manakala pada 2023 pula, ia mencatat rekod dunia bagi hidangan char kuetiau terbesar.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Budaya dan Warisan Johor, Encik K. Raven Kumar, yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, semasa majlis perasmian berkata ini adalah kali ketiga Kejohanan Dunia Cef dianjurkan di negeri itu.
“Penganjuran Kejohanan Dunia Cef di Johor merupakan peluang terbaik untuk kita mengangkat sektor pelancongan gastronomi ke tahap lebih tinggi.
“Pertandingan ini juga mampu meningkatkan standard kemahiran cef tempatan dan membuka ruang pertukaran idea bersama rakan-rakan cef dari seluruh dunia,” katanya.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan 2,128 peserta, termasuk cef tempatan yang bersaing bersama cef dari 17 negara lain termasuk Singapura, Amerika Syarikat, Australia, China dan Taiwan.
Encik Raven berkata Malaysia, khususnya Johor, dibina atas asas kepelbagaian budaya yang menjadi nadi kekuatan dan keunikan negeri itu.
Kejohanan Dunia Cef bukan sekadar pertandingan kulinari, malah berperanan sebagai wadah untuk mengetengahkan keunikan Johor kepada masyarakat antarabangsa, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg