ISKANDAR PUTERI (Johor): Kerajaan negeri Johor menyasarkan kutipan hasil mencecah RM42.48 bilion ($12.88 bilion) daripada sektor pelancongan sempena penganjuran Tahun Melawat Johor 2026, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata anggaran itu dibuat berdasarkan perbelanjaan purata per kapita pelancong sebanyak RM3,500, dengan sasaran 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa melawat negeri Johor sepanjang tempoh tersebut.
“Sasaran itu bukan mustahil dicapai sekiranya semua pihak memainkan peranan, termasuk agensi pelancongan, kerajaan tempatan serta pemain industri,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada 21 Mei.
Datuk Onn Hafiz berkata bagi memastikan kejayaan kempen pelancongan itu, kerajaan negeri telah memperuntuk RM116.35 juta bagi melaksanakan pelbagai projek naik taraf produk pelancongan negeri sepanjang 2024 dan 2025.
“Antara projek naik taraf itu termasuk Fasa Kedua Zoo Johor, Gunung Ledang, Taman Negara Tanjung Piai, Taman Botani Diraja, Muzium Diraja Abu Bakar, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar serta Muzium Tokoh,” katanya, lapor Harian Metro.
Menurutnya, manfaat daripada sambutan Tahun Melawat Johor 2026 bukan sahaja terhad kepada pelancong asing, bahkan turut memberi kesan secara langsung kepada rakyat tempatan, khususnya dari segi harga tiket serta pertumbuhan ekonomi setempat.
“Sebagai contoh, harga tiket masuk ke Zoo Johor bagi pelancong asing ialah RM30, manakala warga tempatan hanya dikenakan bayaran RM10.
“Inisiatif sebegini menunjukkan bahawa rakyat negeri ini turut diutamakan dalam pelaksanaan program pelancongan,” katanya.
Menurutnya, pelbagai acara berskala antarabangsa turut dirancang sempena tahun pelancongan itu, antaranya Karnival Bangsa Johor, Hari Muzium Antarabangsa dan Simposium Johor Global.
“Johor juga akan menjadi tuan rumah acara bertemakan sukan seperti Ironman, Viper Challenge, triathlon dan Dragon Boat Regatta.
“Kehadiran ikon sukan dunia seperti, Sony Bill Williams dan Datuk Lee Chong Wei, dijangka menyuntik tarikan tambahan kepada program yang dirancang,” katanya.
Mengulas persepsi segelintir pihak yang mendakwa Johor tidak mempunyai tarikan menarik, Datuk Onn Hafiz berkata tanggapan itu tidak tepat.
“Sebenarnya, Johor mempunyai banyak aktiviti selain pusat beli-belah dan makanan.
“Apa yang kita perlu lakukan ialah memperkasakan produk dan memaksimumkan potensinya untuk terus menarik minat pelancong,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg