Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tauke cendawan kukur ‘berdagang’ di media sosial

Jul 14, 2025 | 6:48 PM
Cik Nur Atirah Atika Alias dan suaminya, Encik Mohamad Khairul Ridzuan Mayeeding kini mampu menjual sehingga 320 kilogram cendawan kukur sebulan.
Cik Nur Atirah Atika Alias dan suaminya, Encik Mohamad Khairul Ridzuan Mayeeding kini mampu menjual sehingga 320 kilogram cendawan kukur sebulan. - Foto NSTP

Kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 empat tahun lalu menjadi titik tolak kejayaan pasangan muda yang kini giat mengusahakan pertanian cendawan kukur atau kulat sisir dan jarang diceburi generasi muda.

Cik Nur Atirah Atika Alias, 29 tahun, dan suaminya, Encik Mohamad Khairul Ridzuan Mayeeding, 29 tahun, tidak duduk diam. Mereka pulang ke kampung dengan semangat baru dan tekad yang kuat.

Berbekalkan modal sendiri menggunakan wang simpanan RM1,000 ($300), mereka mencuba nasib mengusahakan cendawan tiram terlebih dahulu sebelum bertukar kepada cendawan kukur, lapor BH Online.

Cik Nur Atirah berkata, kini hasil tanaman mereka berjaya dipasarkan ke seluruh negara.

Katanya, selain menjual hasil cendawan kukur kepada pemborong dan pemilik restoran, mereka turut menyediakan bongkah cendawan kepada kepada pelanggan yang berminat mengusahakan sendiri tanaman terbabit.

“Usaha tidak mengkhianati hasil. Kami kini mampu menjual sehingga 320 kilogram cendawan kukur sebulan, selain sebanyak 16,000 bongkah terjual kepada pelanggan seluruh negara.

“Biasanya, cendawan kukur segar dijual RM70 sekilogram, manakala yang kering RM120 sekilogram.Bagi bongkah cendawan, kami jual RM3.50 satu bongkah yang boleh memberi dua kali hasil cendawan.

“Bagi pelanggan di luar Kelantan kami menghantar tempahan menggunakan lori atau perkhidmatan pos, namun dipaket rapi supaya tidak rosak,” katanya ketika ditemui di kebun cendawan kukur miliknya di Kampung Tasek Bakong, di Rantau Panjang.

Cik Nur Atirah yang juga ibu kepada tiga anak berusia empat sehingga lapan tahun, berkata beliau menggunakan kelebihan media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk mempromosikan bongkah serta cendawan kukur yang diusahakannya.

Antara cabaran dihadapi mengusahakan cendawan itu adalah serangan hama atau serangga, selain memerlukan kawasan sesuai iaitu ruang yang tidak terdedah dengan cahaya matahari serta udara bersih.

“Proses penanaman cendawan kukur agak rumit, namun saya bersyukur kerana ditemukan dengan ‘orang lama’ dalam bidang berkaitan yang tidak kedekut ilmu sehingga saya dan suami kini arif dalam bidang ini.

“Kami sangat menjaga kualiti tanaman yang diusahakan. Lazimnya, cendawan kukur segar boleh bertahan selama dua minggu, manakala yang kering sehingga enam bulan jika disimpan di dalam peti ais.

“Kami akan terus berusaha mengembangkan lagi perusahaan bongkah dan cendawan kukur ini kerana ia mampu memberikan pendapatan lumayan,” katanya.

“Bagi anak muda yang berminat dalam bidang pertanian, kami nasihatkan jangan takut tetapi terus sahaja bertindak dan jangan mudah berputus asa kerana kegagalan adalah asam garam dalam setiap perniagaan,” katanya yang kini mempunyai tujuh pekerja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg