Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skandal sandal Prada buka peluang kepada tukang kasut di India

Jul 14, 2025 | 2:52 PM
Sandal Kolhapuri, prada
Sandal Kolhapuri telah mendapat perhatian sejagat selepas kontroversi melibatkan jenama Prada dengan memaparkan reka bentuk serupa di pertunjukan fesyen Milan. - Foto REUTERS

MUMBAI/MILAN: Penjual dan penggiat seni kasut di India kini mendakap semangat kebangsaan yang timbul di sebalik ‘skandal sandal’ Prada dalam usaha meningkatkan jualan selipar etnik tradisional – diwarisi sejak abad ke-12.

Ini sekali gus menyuntik harapan untuk menghidupkan kembali seni kraf yang kian merosot.

Jualan sandal Kolhapuri melonjak sejak kebelakangan ini setelah reka bentuknya mencuri perhatian di peringkat sejagat apabila jenama mewah, Prada, mempamerkan sandal hampir serupa di pertunjukan fesyen Milan, tanpa memberi pengiktirafan asal usul reka bentuk tersebut pada awalnya.

Gambar daripada pertunjukan fesyen yang tular itu menarik kritikan daripada para penggiat kraf di India – khususnya mereka yang menghasilkan sandal tersebut, yang dinamakan sempena bandar bersejarah Kolhapur di negeri Maharashtra.

Akhirnya, Prada terpaksa mengakui bahawa rekaan sandal itu diinspirasikan daripada reka bentuk zaman lampau India.

“Prada 0: Kolhapur 1,” tulis satu hantaran Instagram oleh laman e-dagang, Shopkop.

Pengasasnya, Encik Rahul Parasu Kamble, menulis surat terbuka kepada Prada menyatakan bahawa sandal itu “penuh dengan nilai tradisi”.

Surat itu dikongsi semula 36,000 kali di media sosial.

“Saya melihat kontroversi ini sebagai peluang untuk mempromosikan Kolhapuri,” kata Encik Kamble, 33 tahun, yang jualan sandalnya melonjak kepada 50,000 rupee ($746) dalam tempoh tiga hari, lima kali ganda purata harian biasa.

Seorang wanita mencuba sandal Kolhapuri, iaitu kasut tradisional etnik India, di sebuah kedai di New Delhi.
Seorang wanita mencuba sandal Kolhapuri, iaitu kasut tradisional etnik India, di sebuah kedai di New Delhi. - Foto REUTERS

Prada menyatakan bahawa mereka akan mengatur pertemuan susulan bersama para penggiat seni.

Dalam satu kenyataan kepada agensi berita, Reuters, pada 1 Julai, kumpulan fesyen Italy itu menambah mereka bercadang menghasilkan sandal tersebut di India melalui kerjasama dengan pengeluar tempatan jika ia dikomersialkan.

Pasaran barangan mewah India masih kecil namun sedang berkembang, dengan golongan kaya berbelanja besar untuk kereta Lamborghini dan jam tangan mewah.

Prada sendiri belum memiliki butik rasmi di India, dan produknya hanya mampu dimiliki golongan berada – selipar kulit lelaki dijual bermula pada harga AS$844 ($1,074), berbanding versi Kolhapuri, yang boleh dibeli serendah AS$12.

Namun, keterkaitan jenama Prada dengan sandal Kolhapuri yang dihasilkan oleh kira-kira 7,000 tukang kasut, kini membuka peluang perniagaan kepada sesetengah pihak.

Sandal Kolhapuri, atau ‘chappal’ dalam bahasa Hindi, dibuat secara manual di bengkel kecil dan sering digayakan bersama pakaian tradisional India.

Rekaan serupa juga boleh didapati di Bata India, Metro Brands, serta dalam talian melalui Amazon dan Flipkart milik Walmart.

Sandal Kolhapuri dipamerkan di sebuah kedai di New Delhi.
Sandal Kolhapuri dipamerkan di sebuah kedai di New Delhi. - Foto REUTERS

Pada 2021, kerajaan India menyatakan bahawa eksport sandal itu berpotensi mencecah AS$1 bilion setahun.

Walaupun tiada anggaran terkini, ramai tukang kasut mengakui perniagaan itu terjejas akibat pengguna yang semakin memilih kasut moden dan bergaya.

Namun begitu, kontroversi melibatkan Prada itu memberi nafas baru kepada kraf tradisional, yang menurut presiden badan industri utama Maharashtra, Encik Lalit Gandhi, adalah “seni yang hampir pupus”.

Beliau turut menyatakan perbincangan sedang dijalankan dengan Prada untuk menghasilkan sandal edisi terhad berjenama bersama.

Seorang tukang kasut Kolhapur, Encik Ashok Doiphode, 50 tahun, mengharapkan peluang hasil daripada kerjasama dengan Prada.

Beliau menjahit sandal secara manual selama sembilan jam sehari, namun hanya dapat menjual sepasang pada harga 400 rupee.

“Jika syarikat besar seperti Prada masuk, kami para tukang boleh mendapat harga yang lebih baik,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg