Dua parti utama dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) – bakal berdepan hujung minggu yang penuh debaran apabila masing-masing mengadakan perhimpunan parti yang dijangka menjadi medan penting untuk menentukan hala tuju mereka selepas siri kekalahan dalam pilihan raya.

Kongres Nasional PKR yang bermula 14 hingga 16 Ogos akan memberi tumpuan kepada usaha parti pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, melakukan muhasabah menyusuli kekalahan berturut-turut PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Lebih mencuri perhatian ialah kongres itu berlangsung ketika PKR berdepan kehilangan beberapa pemimpin dan tiga kerusi Parlimen dalam tempoh beberapa bulan.

Tumpuan turut terarah kepada hala tuju parti itu selepas ada pemimpinnya dilihat menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana blok politik yang berasaskan prinsip kestabilan politik dan kepentingan rakyat.

Sementara DAP pula akan mengadakan Persidangan Kebangsaannya pada 16 Ogos yang bakal menentukan sama ada Ahli Parlimen (AP) parti itu terus memegang jawatan dalam Kabinet Datuk Anwar bagi baki penggal Parlimen atau sebaliknya.

Penganalisis meramalkan kededua perhimpunan besar itu bakal memberi cabaran lebih rumit buat Datuk Anwar yang juga Pengerusi PH, bukan saja dalam politik, tetapi juga terhadap pentadbiran kerajaan.

Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mazlan Che Soh.
Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mazlan Che Soh. - Foto UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mazlan Che Soh, melihat Kongres Nasional PKR dan Persidangan DAP kali ini antara yang paling mencabar bagi kededua parti, terutama sejak PH membentuk sebahagian Kerajaan Perpaduan pada 2022.

Ini menurut beliau apabila kedua-duanya dilihat berdepan persoalan mengenai sokongan akar umbi dan hala tuju politik.

Beliau berkata cabaran PKR bukan sekadar berkaitan prestasi parti dalam PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan yang disifatkan mengecewakan.

Katanya, peletakan jawatan tiga AP yang kemudian meninggalkan PKR iaitu mantan Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli; diikuti Naib Presidennya, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Mei lalu; dan terbaru AP Subang, Encik Wong Chen, selain keputusan Cik Nurul Izzah Anwar melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR, turut menimbulkan persoalan mengenai kepimpinan dan masa depan parti.

“Perkara-perkara ini sebenarnya memberikan satu persoalan terhadap kepimpinan dan masa depan PKR, khususnya pasca-Anwar yang semakin sukar untuk kita ramalkan,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Bagi DAP pula, Dr Mazlan berkata dilema parti itu berbeza kerana perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai sebahagian daripada kerajaan dengan keperluan mempertahankan identiti reformis dan keyakinan penyokong tegarnya.

Beliau berkata keputusan yang akan dibuat oleh lebih 4,000 perwakilan pada Persidangan DAP mengenai kedudukan pemimpinnya dalam Kerajaan Perpaduan sedikit sebanyak akan memberi tekanan kepada Datuk Anwar.

Jelasnya, walaupun Setiausaha Agung DAP, Encik Anthony Loke, pernah memberi jaminan parti itu tidak akan menarik sokongan terhadap Datuk Anwar, beliau berpandangan sekiranya DAP memutuskan meninggalkan Kabinet, ia akan meninggalkan kesan moral kepada kepimpinan Datuk Anwar.

“Kesannya bukan sahaja bersifat kejatuhan moral politik, tetapi turut boleh menjejas kelancaran pentadbiran Datuk Anwar kerana kerajaan perlu menyusun semula Kabinet dan mencari pengganti bagi menteri yang meletakkan jawatan.

“Walaupun kerajaan tidak runtuh, ia akan menjejas keyakinan rakyat terhadap parti kerajaan serta merencatkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, terutama ketika kerajaan sedang berusaha melaksanakan agenda reformasi,” katanya.

Mengenai kemungkinan DAP mengambil keputusan keluar Kabinet, Dr Mazlan berkata beliau tidak mahu membuat ramalan muktamad kerana keputusan itu terletak pada perwakilan, namun melihat potensi berkenaan sebagai tinggi.

Katanya, keputusan PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan sokongan terhadap DAP belum menunjukkan peningkatan, malah turut menimbulkan persoalan dalam kalangan pengundi tradisional parti itu sama ada DAP hari ini masih mencerminkan parti yang mereka kenali sebelum ini.

“Jadi, mungkin ada beberapa perkara yang menyebabkan pengundi merasakan DAP sekarang bukan DAP yang dulu. Jika mereka keluar (Kabinet), mereka boleh menyusun semula strategi dan tidak lagi terikat dalam konteks kerajaan,” katanya.

Isu mengenai sama ada pemimpin DAP wajar kekal dalam Kerajaan Perpaduan atau sebaliknya mula dibangkitkan selepas PRN Sabah pada September 2025, menyusuli prestasi buruk parti itu.

DAP menyifatkan kekalahan itu didorong kegagalan Kerajaan Perpaduan melaksanakan reformasi dijanjikan, malah sebagai blok terbesar di Parlimen dengan 40 kerusi, DAP tidak mempunyai majoriti mudah untuk melaksanakan pembaharuan yang dijanjikannya.

Penganalisis politik merangkap Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan.
Penganalisis politik merangkap Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan. - Foto ASTRO AWANI

Bagi penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan, keputusan Persidangan DAP, selain Kongres Nasional PKR berpotensi memberi implikasi besar terhadap hala tuju PH, khususnya dalam menentukan kedudukan gabungan itu menjelang PRN Melaka dan PRU (pilihan raya umum) ke-16, akan datang.

“Saya melihat kemungkinan besar perwakilan DAP akan memutuskan untuk AP parti itu keluar daripada Kerajaan dan meletak jawatan dalam Kabinet Datuk Anwar.

“Keputusan itu penting buat DAP kerana prestasi parti berkenaan dalam PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan kedudukannya dalam kerajaan tidak berjaya meningkatkan keyakinan pengundi, malah sokongan terhadap parti itu semakin merosot.

“Keputusan yang dibuat perwakilan DAP berpotensi membentuk strategi dan konfigurasi politik PH untuk menghadapi PRN dan PRU akan datang,” kata Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara itu kepada BH.