Topik diikuti
Pergi ke BHkuNurul Izzah lepas jawatan Timbalan Presiden PKR
Cik Nurul Izzah Anwar mengumumkan keputusan melepaskan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 6 Ogos, keputusan yang dilihat mengejutkan ketika parti itu sedang berusaha memperkukuh kedudukan selepas kekalahan berturut-turut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menjelaskan langkah melepaskan jawatan yang baru disandangnya pada 23 Mei 2025 itu dibuat selepas pertimbangan yang panjang, bagi membolehkannya mengorak langkah baharu meneruskan pengajian lanjutan.
“Keputusan ini dibuat setelah pertimbangan yang panjang, untuk mengorak langkah baharu dalam meneruskan pengajian lanjutan yang berdiri di atas khidmat dan bakti, serta tidak semestinya terikat dengan dunia politik,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada 6 Ogos.
Beliau bagaimanapun berkata keputusan itu tidak bermaksud beliau meninggalkan PKR – parti yang dipimpin bapanya yang juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, beliau menegaskan akan hadir ke Kongres Nasional PKR pada 14-15 Ogos ini di Melaka.
“Saya akan terus kekal sebagai anggota Keadilan (PKR), memberikan dokongan kepada perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik,” katanya.
Puteri sulung Datuk Anwar itu turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti yang mengambil maklum keputusannya melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR.
“Alhamdulillah, saya mengucapkan sepenuh penghargaan kepada Datuk Seri Presiden (PKR) berserta kepimpinan parti kerana mengambil maklum akan keputusan saya melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden.
“Kepada seluruh anggota Keadilan (PKR), pimpinan di setiap peringkat, sahabat seperjuangan dan setiap insan yang telah bersama saya dalam perjuangan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan.
“Terima kasih di atas kepercayaan, teguran, doa dan pengorbanan yang tidak pernah putus. Insya-Allah ketemu jua kita sewaktu Kongres Nasional PKR pada 14-15 Ogos 2026,” katanya.
Cik Nurul Izzah memegang jawatan Timbalan Presiden PKR selepas menewaskan penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli, pada pemilihan parti itu di Johor pada 23 Mei 2025.
Berikutan kekalahan itu, Datuk Rafizi pada 28 Mei mengumumkan meletak jawatan Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun 2025.
Difahamkan, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR tidak terus menerima pengunduran Cik Nurul Izzah, sebaliknya memutuskan untuk memberikan cuti sementara kepada beliau, selepas membincangkan permohonannya untuk berundur daripada jawatan Timbalan Presiden.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata cuti itu akan bermula selepas Kongres Nasional PKR 2026 sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.
“MPP turut membincangkan permohonan Nurul Izzah untuk mengundurkan diri dari jawatan Timbalan Presiden.
“Namun setelah mendengar pandangan Nurul Izzah dan pimpinan, MPP bersetuju untuk memberi cuti sementara bermula selepas Kongres PKR 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumum,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat MPP pada 6 Ogos.
Menyusuli keputusan Cik Nurul Izzah itu, Datuk Fahmi berkata MPP turut memutuskan supaya Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara.
Manakala Naib Presiden, Datuk Seri Amiruddin Shari menggalas sepenuhnya jawatan Pengarah Pilihan Raya PKR.
“Berhubung Kongres PKR 2026, Saudari Nurul Izzah akan merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan pada 14 Ogos,” katanya.
Untuk itu Cik Nurul Izzah turut menyatakan keyakinan bahawa Datuk Saifuddin Nasution dan Datuk Amirudin Shari mampu melaksanakan amanah yang diberikan kepada mereka.
“Saya yakin Datuk Saifuddin Nasution selaku Timbalan Presiden dan Datuk Amirudin selaku Pengarah Pilihan Raya akan melaksanakan amanah ini dengan penuh kebijaksanaan, hikmah dan ketekunan dalam menggalas harapan rakyat.
“Saya mendoakan agar setiap urusan mereka dipermudah dalam memikul tanggungjawab ini,” katanya.
