Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tekanan pada leher punca kematian murid Darjah 4 di N Sembilan

Oct 3, 2025 | 10:15 AM
kanak-kanak, maut, leher
Jenazah kanak-kanak yang maut selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas sebuah sekolah dibawa keluar dari Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, Negeri Sembilan, selepas dibedah siasat. - Foto HARIAN METRO

REMBAU (Negeri Sembilan): Punca kematian seorang murid Darjah 4 yang dijumpai tidak sedarkan diri di tandas lelaki di sebuah sekolah kebangsaan di daerah Seremban pada 1 Oktober adalah disebabkan tekanan pada leher.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata ia hasil laporan bedah siasat yang dijalankan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini, petang 2 Oktober.

“Bedah siasat dijalankan ke atas mangsa mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher.

“Hasil bedah siasat juga mendapati tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada 2 Oktober.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 27 keterangan sudah dirakam dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan.

“Ia termasuk mengenal pasti punca tindakan sebelum kejadian sehingga kepada siasatan ketika mangsa dijumpai tidak sedarkan diri dalam tandas.

“Polis menggesa supaya diberi ruang untuk menjalankan siasatan yang telus dan dilaksanakan dengan mengambil kira pematuhan terhadap sensitiviti kanak kanak yang dilindungi di bawah peruntukan Undang Undang Akta Kanak Kanak 2001 memandangkan siasatan juga membabitkan saksi kanak kanak.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi tidak berasas yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya, lapor Harian Metro.

Jenazah kanak-kanak itu dibawa keluar dari Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau kira-kira 6.30 petang selepas hampir tiga jam proses bedah siasat dijalankan.

Jenazah murid itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights selepas solat maghrib.

Media sebelum ini melaporkan polis mengklasifikasikan kes kematian itu mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan iaitu buli melalui komunikasi.

Datuk Alzafny dilaporkan berkata kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah tandas sekolah berkenaan sebelum dihantar ke sebuah klinik swasta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg