Kementerian Pendidikan (MOE) sedang mendapatkan cadangan orang awam sebagai sebahagian usaha semakan menyeluruh terhadap isu buli, kata Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.
Dalam jawapannya kepada soalan yang diajukan Anggota Parlimen (AP) semasa Sidang Parlimen pada 23 September, beliau berkata rundingan bersama pihak awam itu tertumpu pada empat teras.
Ia merangkumi pengukuhan budaya, persekitaran dan proses sekolah; penekanan kepada pendidikan nilai; lebih banyak sokongan untuk sekolah dan pendidik; dan peningkatan kerjasama antara sekolah dengan ibu bapa.
Beberapa AP mengetengahkan idea untuk menangani isu buli semasa Sidang Parlimen pada 23 September.
Encik Xie Yao Quan (SMC Jurong Central) mencadangkan agar unit antibuli pusat dibangunkan bagi menyokong sekolah dan meringankan beban guru, manakala AP pembangkang Parti Pekerja (WP), Cik He Ting Ru (GRC Sengkang), menyarankan berunding dengan pakar pencegahan keganasan dan keselamatan kanak-kanak, serta bekerjasama dengan agensi luar.
Encik Lee berkata semua cadangan yang diketengahkan, termasuk cadangan orang awam, akan dipertimbangkan, sebelum MOE menerbitkan dapatan dan saranan muktamad kepada umum pada separuh pertama 2026.
“Matlamat kita bersama sebagai sistem pendidikan dan sebagai masyarakat harus berunsur pemerkasaan.
“Kita mempunyai tanggungjawab kolektif untuk membantu anak kita belajar bagaimana berinteraksi dengan orang lain, bersikap baik dan menunjukkan rasa hormat kepada orang lain.
“Dalam hal ini, kanak-kanak melihat tingkah laku dan mencerminkan nilai (yang diterapkan) dari persekitaran rumah, sekolah dan masyarakat mereka,” ujarnya.
Terdapat lebih 20 soalan oleh AP mengenai isu buli dalam kalangan pelajar, berlatarbelakangkan kes-kes yang berlaku sejak kebelakangan ini dan tular di media sosial.
Salah satu kes yang mencetus perhatian ramai berlaku pada Ogos di Sekolah Rendah Sengkang Green, melibatkan tiga murid Darjah 3 selepas mereka membuli murid perempuan dan menghantar ugutan bunuh kepada ibu murid terbabit.
Dalam respons oleh MOE berikutan kes itu, pihak sekolah telah bertindak “dalam masa sewajarnya”, dengan ketiga-tiga murid terlibat digantung sekolah manakala salah seorang daripada mereka dikenakan sebat.
Murid perempuan itu telah kembali ke sekolah dengan pelan keselamatan yang ditetapkan, kata MOE.
Sidang Parlimen itu turut menyaksikan AP mengajukan pelbagai soalan susulan kepada jawapan Encik Lee, dengan Encik David Hoe (GRC Jurong East-Bukit Batok) bertanya sejauh manakah keberkesanan menggantung pelajar yang bersalah daripada hadir ke sekolah dan menetap di rumah sebagai kaedah hukuman.
Menurut Encik Hoe, pelajar yang menjalani hukuman gantung daripada menghadiri sekolah mungkin berada di rumah dengan menghabiskan masa bermain telefon bimbit, antara lain.
Encik Lee akur kesan kurang memadai terhadap pelajar yang digantung dari sekolah, terutamanya jika tiada pengawasan ke atas pelajar itu di rumah.
Lantaran itu, beliau berkata adanya “hukuman gantung di sekolah”, di mana pelajar berada di luar kelas tetapi terlibat dalam kerja kemasyarakatan atau perkhidmatan di sekolah sebagai sebahagian langkah menerapkan disiplin.
AP pembangkang daripada Parti Pekerja (WP), Encik Louis Chua (Sengkang GRC), bertanya apakah jurang yang ingin ditangani MOE dalam perundingannya bersama orang awam pada masa ini, sebagai sebahagian daripada usaha semakan menyeluruh terhadap isu buli.
Encik Lee mengulangi keperluan terhadap pengukuhan budaya, persekitaran dan proses sekolah, di samping jangkaan bagi penerbitan dapatan semakan itu pada separuh pertama 2026.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg