Tempoh reman warga S’pura dilanjutkan bagi bantu siasatan kes bunuh
Tempoh reman warga S’pura dilanjutkan bagi bantu siasatan kes bunuh
Tempoh reman warga S’pura dilanjutkan bagi bantu siasatan kes bunuh
Seorang lelaki warga Singapura ditahan reman tujuh hari, manakala tempoh reman empat lagi suspek dilanjutkan.
Tindakan ini diambil bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di Southkey, Johor Bahru.
Perintah reman ini dikeluarkan oleh Majistret Chai Ing Hien di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 26 Mac, atas permohonan pihak polis.
Lelaki berusia 30 tahun itu direman bermula 26 Mac hingga 1 April, sementara empat suspek lain direman dari 27 Mac hingga 2 April.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sebelum ini, media melaporkan lima suspek berusia 24 hingga 33 tahun diburu polis berhubung kematian warga asing berusia 32 tahun, sekitar jam 5 pagi, 14 Mac.
Suspek pertama ditahan 12.15 tengah malam 18 Mac, ketika cuba melepasi pemeriksaan imigresen untuk ke Singapura.
Susulan penahanan itu, empat lagi suspek berjaya diberkas dengan bantuan Polis Singapura pada 6 petang, 19 Mac, selepas dipercayai melarikan diri ke republik tersebut.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, memaklumkan suspek pertama direman tujuh hari (18 hingga 24 Mac) dan empat lagi direman tujuh hari (20 hingga 26 Mac) bagi membantu siasatan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat tikaman di leher.
Semua suspek dipercayai melarikan diri ke Singapura sejurus kejadian, bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
Mahkamah sama sebelum ini turut membenarkan tempoh reman suspek pertama dilanjutkan sehingga 31 Mac.
Seorang lagi suspek, lelaki berusia 30 tahun, ditahan oleh Polis Singapura pada pagi 25 Mac.
Penahanan ini menjadikan enam suspek keseluruhan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan

