Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Teringin naik helikopter sebelum pencen

NAHAS HELIKOPTER TLDM
Apr 24, 2024 | 9:02 AM
Kakak sulung Allahyarhamha Noorfarahimi Mohd Saedy, Cik Nurlaida Mohd Saedy (dua dari kanan) dan ibu saudara mereka, Cik Laila Fairus Ismail, menenangkan dua anak Allahyarhamha, Nur Alwani Fatihah Muhd Faizul dan abangnya Muhd Alif Farhan, yang bersedih atas pemergian ibu mereka.
Kakak sulung Allahyarhamha Noorfarahimi Mohd Saedy, Cik Nurlaida Mohd Saedy (dua dari kanan) dan ibu saudara mereka, Cik Laila Fairus Ismail, menenangkan dua anak Allahyarhamha, Nur Alwani Fatihah Muhd Faizul dan abangnya Muhd Alif Farhan, yang bersedih atas pemergian ibu mereka. - Foto NSTP

SELAMA (Perak): “Arwah bagi tahu sebelum dia pencen, dia teringin nak naik helikopter. Sepanjang kerjaya dia ini kali ketiga dia naik sebab terbabit dalam latihan raptai.”

Demikian cerita Cik Laila Fairus Ismail, ibu saudara Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, antara 10 korban nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, pada 23 April, lapor BH Online (Malaysia).

Menurut Cik Laila, 58 tahun, pada Aidilfitri lalu Allahyarhamha, 41 tahun, antara orang paling ceria dan memberitahu saudara-mara yang beliau akan pencen tidak lama lagi dan akan tinggal bersama suaminya di Kuantan, Pahang.

“Arwah seorang yang mudah ‘happy’. Pada Aidilfitri lalu dia maklumkan akan bersara Jun ini dan mahu merasa naik helikopter sebelum bersara.

“Namun, tak disangka kejadian seumpama itu berlaku,” katanya ketika ditemui di Banggol Jas, Sungai Bayor, Selama. 

Menurutnya, suami Allahyarhamha juga anggota TLDM di pangkalan di Kuantan. Mereka mempunyai tiga anak berusia 16,12 dan lapan tahun.

Cik Laila menambah bahawa beliau diberitahu ahli keluarga Allahyarhamha bahawa jenazahnya dalam keadaan sempurna dan hanya terdapat kecederaan pada bahagian kepala.

Kakak sulung Allahyarhamha, Cik Nurlaida Mohd Saedy, 55 tahun, berkata adiknya itu sempat membuat rakaman video pemandangan dari helikopter ketika berlepas dan menghantarnya ke kumpulan WhatsApp keluarga.

Dua anak Allahyarhamha, Nur Alwani Fatihah Muhd Faizul dan abangnya Muhd Alif Farhan memang bercita-cita menjadi anggota tentera seperti ibu dan ayah mereka.

Kejadian yang mengorbankan ibu mereka tidak mematahkan semangat mereka, malah akan menjadi motivasi untuk mereka mengejar impian itu.

Nahas itu berlaku semasa dua helikopter tersebut menjalankan latihan bagi raptai Sambutan Hari TLDM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg