Topik diikuti
Pergi ke BHkuTiada bukti kukuh syarikat M’sia terlibat pembakaran hutan hingga akibat jerebu
Kerajaan M’sia teliti dakwaan pembabitan syarikat yang ada pemilikan, pelaburan atau hubungan operasi dengan kebakaran di Indonesia
Tiada bukti kukuh syarikat M’sia terlibat pembakaran hutan hingga akibat jerebu
KUALA LUMPUR: Tiada bukti kukuh yang mengesahkan pembabitan syarikat perladangan berkaitan Malaysia sebagai pihak yang didakwa menyebabkan kebakaran hutan di Indonesia, setakat ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata pihaknya bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) meneliti dakwaan pembabitan syarikat Malaysia yang mempunyai pemilikan, pelaburan atau hubungan operasi dengan kebakaran di negara berkenaan, yang menyebabkan jerebu teruk.
“Berdasarkan penelitian setakat ini, tiada bukti kukuh yang mengesahkan pembabitan syarikat perladangan berkaitan Malaysia sebagai pihak yang menyebabkan kebakaran itu.
“Setiap negara anggota Asean bertanggungjawab melaksanakan komitmen di bawah Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) melalui dasar, undang-undang dan mekanisme penguatkuasaan masing-masing.
“AATHP turut menekankan kepentingan pengukuhan dasar, undang-undang dan peraturan, kerjasama serta pertukaran maklumat berkaitan penguatkuasaan.
“Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan kebakaran adalah tertakluk kepada bidang kuasa dan undang-undang domestik negara anggota Asean di mana punca kebakaran dan jerebu berlaku,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, pada 16 November, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Langat dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, yang ingin tahu bilangan syarikat Malaysia yang mempunyai pemilikan, pelaburan atau hubungan operasi dengan kawasan kebakaran hutan di Indonesia serta tindakan penguatkuasaannya.
Datuk Arthur berkata, pendirian kerajaan jelas bahawa pihak yang terbukti bertanggungjawab menyebabkan pencemaran jerebu di kawasan punca perlu dikenakan tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang yang berkuatkuasa.
Katanya, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sudah beberapa kali meneliti kewajaran penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan sebagaimana dilaksanakan oleh negara jiran.
Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan akta seumpama itu membabitkan beberapa cabaran yang perlu diteliti secara menyeluruh, khususnya dari aspek bidang kuasa perundangan, pengumpulan bukti dan pembuktian kes di luar negara, penentuan liabiliti syarikat serta implikasinya terhadap kedaulatan negara lain.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 63 penerbangan Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilaksanakan pada 2026 dan berjaya menghasilkan hujan di beberapa kawasan sasaran, membantu meningkatkan paras air empangan dan mengurangkan impak jerebu merentas sempadan.
Katanya, pihaknya melalui Jabatan Meteorologi Malaysia sentiasa memperkukuh langkah kesiapsiagaan menghadapi isu jerebu dan cuaca kering berpanjangan dengan operasi berkenaan dilakukan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).