Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada sekatan warga S’pura keluar masuk, perlu ada pas sah tinggal di JB

Jun 16, 2024 | 5:30 AM
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh. - Foto JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjelaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan yang melarang perjalanan keluar masuk Malaysia bagi warga Singapura, selagi mana individu tersebut tidak tergolong dalam syarat Imigran Larangan, mempunyai pasport cukup tempoh sah laku serta pas yang sah.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh, memberitahu Berita Minggu (BM) berdasarkan semakan, JIM tidak pernah menerima sebarang aduan, pertanyaan atau isu yang dibangkitkan di mana warga Singapura yang menetap di Johor Bahru telah dilarang memasuki Malaysia secara harian, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

“Pemeriksaan yang dijalankan di pintu masuk oleh pegawai imigresen yang bertugas adalah mengikut tatacara yang telah ditetapkan. Jika individu terbabit memenuhi semua syarat ditetapkan, tidak ada sebab untuk mereka berdepan isu sedemikian.

“Bagaimanapun, jika benar ada individu yang terlibat dikenakan larangan untuk keluar masuk secara harian sebagaimana didakwa, mereka boleh membuat aduan secara rasmi terus kepada JIM Negeri Johor,” katanya.

Datuk Ruslin menjelaskan individu boleh menghubungi JIM menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JIM di pautan https://imi.spab.gov.my/eApps/system/index.do atau aduan boleh terus dilaporkan kepada Bahagian Integriti JIM melalui talian 03-88801246 atau melalui e-mel aduanintegriti@imi.gov.my.

“JIM tidak akan berkompromi dengan apa jua pelanggaran yang menjejas tata kelola atau integriti yang dibuat oleh pegawai imigresen,” tegasnya.

Jawapan JIM tidak menyatakan jenis pas apa yang perlu digunakan warga Singapura untuk tinggal di Malaysia dan ulang-alik Singapura setiap hari.

Bagaimanapun, Peguamcara dan Peguambela Imigresen, Cik Niki Lim Hui Min, dari Tam Yuen Hung & Co di Kuala Lumpur, berkata mana-mana warga asing yang ingin tinggal di Malaysia dalam jangka masa panjang perlu memiliki visa, permit atau pas yang sah.

Cik Lim, yang berpengalaman dalam menguruskan kes berkaitan imigresen, berkata masalah itu mungkin terjadi disebabkan pengembara yang terlibat tidak peka dengan peraturan yang ditetapkan oleh JIM.

“Meskipun pengembara yang dinyatakan berhak mendapat visa pelancong selama 30 hari, ia tidak bertujuan untuk digunakan dengan cara keluar masuk setiap hari. Pengumuman ini telah dibuat oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura pada Mac 2023.

“Pekeliling terbaru yang dikemas kini oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura pada Februari 2024 bagaimanapun tidak mengumumkan perkara yang sama.

“Tetapi penting untuk difahami bahawa mana-mana pengumuman atau perintah yang dibuat akan tetap sah sehingga ia ditarik balik atau dibatalkan, yang mana ia tidak berlaku dalam kes ini.

“Oleh itu, untuk mengatasi situasi sedemikian, pengembara yang ingin terus berulang-alik dengan cara ini (keluar masuk setiap hari) perlu mendapatkan visa, pas atau permit yang sah untuk membolehkan mereka tinggal atau menetap di Malaysia,” katanya kepada BM.

Cik Lim berkata untuk mengenal pasti visa, pas atau permit yang tersedia dan sesuai dengan kriteria pengembara adalah tertakluk kepada keadaan individu masing-masing.

“Tetapi yang paling sesuai biasanya adalah Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) atau Program Visa Premium (PVIP). Bagaimanapun, setiap pengembara perlu menjalani penelitian dan Jabatan Imigresen mempunyai budi bicara akhir untuk membuat keputusan.

“Pengembara yang menghadapi situasi sedemikian perlu menghubungi pihak berkuasa berkaitan dan memohon visa atau permit yang sah untuk mengelakkan sebarang denda atau hukuman termasuk penjara atau disenaraihitamkan oleh Malaysia,” katanya.

Pesan Cik Lim, jika ada pengembara yang berasa mereka tidak melanggar mana-mana undang-undang atau peraturan, mereka boleh membuat aduan terus kepada JIM supaya tindakan lanjut boleh diambil.

Tidak sekat selagi ada pas sah

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah mengeluarkan arahan yang melarang perjalanan keluar masuk Malaysia bagi warganegara Singapura selagi mana individu tersebut tidak tergolong dalam syarat Imigran Larangan, mempunyai pasport cukup tempoh sah laku dan pas yang sah.”
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh.
Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) paling sesuai

“Pengembara yang ingin terus berulang-alik dengan cara ini (keluar masuk setiap hari) perlu mendapatkan visa, pas atau permit yang sah untuk membolehkan mereka tinggal atau menetap di Malaysia... Yang paling sesuai biasanya adalah Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) atau Program Visa Premium (PVIP). Bagaimanapun, setiap pengembara perlu menjalankan penelitian dan Jabatan Imigresen mempunyai budi bicara akhir untuk membuat keputusan.”
Peguamcara dan Peguambela Imigresen, Cik Niki Lim Hui Min.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg