Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga penuntut maut di Kedah ketika pulang beraya

Jun 6, 2025 | 10:35 AM
Malaysia, Kedah, kemalangan, nahas, penuntut, IKBN
Orang ramai membantu kemalangan maut babit dua motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 49.4 Lebuhraya Utara Selatan dari Alor Setar pada petang 5 Jun. - Foto TULAR MEDIA SOSIAL

ALOR SETAR (Kedah): Tiga penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra terbunuh dalam satu kemalangan di Kilometer 49.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat sini, pada petang 5 Jun.

Seorang lagi rakan mereka parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta, kira-kira 2 petang itu.

Ketika kejadian, semua mangsa berusia 19 tahun itu yang menunggang dua motosikal sedang dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing sempena cuti Aidiladha pada 7 Jun.

Mangsa maut itu dikenal pasti sebagai Muhamad Habil Mohd Sobri dari Gurun; Muhammad Fahmi Jam dari Jeniang, Sik dan Muhamad Arif Aifan Derani dari Bukit Selambau, Sungai Petani.

Jenazah ketiga-tiga pelajar IKBN itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), lapor Berita Harian Malaysia.

Polis telah menahan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbabit dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Penolong Pesuruhjaya Siti Nor Salawati Saad, berkata pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada 2.10 petang.

Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan MPV jenis Naza Citra dan dua motosikal Yamaha 135LC dan Yamaha Y16zr.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku ketika kenderaan Naza Citra sedang berhenti di laluan kecemasan.

“Penunggang motosikal Yamaha 135LC hilang kawalan dan kemudian melanggar belakang kenderaan terbabit, sebelum sebuah lagi motosikal gagal mengelak dan melanggarnya.

“Akibat pelanggaran itu dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal disahkan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi pembonceng cedera dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya dalam kenyataan pada 5 Jun.

Cik Siti Nor Salawati berkata pemandu dan ketiga-tiga penumpang MPV tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kami tunggu dia (Muhammad Habil Mohd Sobri) pulang ke rumah hari ini (5 Jun) sebab malam ini kami sepatutnya pulang ke kampung di Bagan Serai, Perak, untuk menyambut Aidiladha.

“Tak sangka kami hanya menuntut jenazahnya pulang,” kata Encik Mohd Sobri Khamis, 47 tahun, bapa kepada Muhammad Habil.

Beliau berkata anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu ibunya, Cik Sarah Abdul Rashid, 42 tahun, yang beliau akan pulang ke rumah mereka di Kampung Paya Mengkuang, Gurun kira-kira pada Selasa.

Katanya, arwah lebih rapat dengan ibunya dan sering berhubung hampir setiap hari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg