Sepanjang Jalan Mempurong di Sembawang yang biasanya sunyi dan bercahaya malap menuju ke Masjid Petempatan Melayu Sembawang menjadi lebih riuh dan terang sekitar 4 pagi pada 5 Jun, apabila bunyi enjin dan pancaran lampu kenderaan memecah keheningan awal pagi.
Dua treler yang membawa 270 ekor biri-biri dalam kandang tiba di masjid tersebut, sebagai sebahagian daripada 1,050 haiwan hidup yang diterbangkan dari Australia bagi ibadah korban di sini sempena Hari Raya Haji.
Penghantaran tersebut, yang terdiri daripada 900 ekor biri-biri dan 150 kambing, dikendalikan oleh Aliyah Rizq Holdings (ARH).
Ia tiba di Kargo Lapangan Terbang Changi pada sekitar 12.20 pagi, selepas penerbangan hampir lapan jam dari Sydney, Australia, pada 5 Jun.
Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat tersebut, Cik Zahrah Bagarib, syarikat itu merupakan satu-satunya pengendali yang membawa masuk haiwan korban hidup dari Australia bagi 2025.
Ini di samping mereka membekalkan haiwan tersebut kepada beberapa vendor lain seperti persatuan Melayu/Islam termasuk Pertapis, Muhammadiyah dan syarikat 7 Sails Trading Pte Ltd.
“Kami hanya ada satu penerbangan untuk tahun ini (2025).
“Haiwan korban yang diterbangkan adalah dari ladang rakan kongsi kami di Australia,” tambah Cik Zahrah sewaktu dihubungi Berita Harian (BH) dalam talian.
Sebaik tiba di Kargo Lapangan Terbang Changi, haiwan tersebut diperiksa oleh pasukan veterinar dari Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) bagi memastikan protokol pengendalian haiwan tersebut dipatuhi.
Haiwan itu turut diiringi pasukan veterinar ARH untuk tujuan pemantauan, dari segi kesihatan dan laporan dalaman.
Selepas itu, kambing-kambing dihantar ke enam lokasi pelaksanaan korban termasuk beberapa masjid dan pertubuhan sosial.
Antara lokasi tersebut ialah Masjid Tentera Diraja di Clementi yang dibekalkan dengan 180 ekor biri-biri; Masjid Omar Salmah di Jalan Mashhor di kawasan Upper Thomson (200 ekor biri-biri); Masjid Petempatan Melayu Sembawang (270 ekor biri-biri); dan Masjid Al-Firdaus di Choa Chu Kang dengan 150 ekor kambing.
Tadika Muhammadiyah di Jalan Lapang dibekalkan dengan 130 ekor biri-biri dan Rumah Tumpangan Pertapis di Lorong 34 Geylang dengan 120 ekor biri-biri.
Di Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Pegawai Kebajikan Haiwan (AWO), Encik Ahmad Feisal Marican, ditugaskan untuk menyelia urusan pengendalian haiwan di sana.
Menurut Encik Ahmad, sebaik sahaja haiwan-haiwan itu tiba di lokasi, antara keutamaan mereka adalah untuk mempercepat proses pemindahan segera haiwan dari kurungan dalam kenderaan ke kandang rehat.
“Haiwan-haiwan ini telah berada di dalam kurungan semasa diterbangkan dari Sydney ke Singapura selama hampir sembilan jam.
“Sebagai pegawai kebajikan haiwan, kami akan cuba memastikan haiwan-haiwan ini tidak berada dalam keadaan terkurung terlalu lama. Jadi, kita cuba mempercepatkan proses pelepasan itu supaya haiwan dapat segera keluar, menghirup udara segar di sini dan mendapatkan semula tenaga mereka,” ujar pegawai berusia 25 tahun itu.
Hari Raya Haji akan disambut pada 7 Jun di Singapura, dan daging korban daripada haiwan-haiwan itu akan diagihkan kepada keluarga serta golongan memerlukan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg