Topik diikuti
Pergi ke BHkuTimbalan Menteri Agama M’sia sedia letak jawatan jika terbukti sebar ajaran sesat
Cabar pihak buat dakwaan kontroversi agar tampil tunjuk bukti di mahkamah
Timbalan Menteri Agama M’sia sedia letak jawatan jika terbukti sebar ajaran sesat
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Cik Marhamah Rosli, menegaskan akan meletak jawatan sekiranya terbukti dirinya menyesatkan orang ramai, menyusuli dakwaan penglibatannya dalam ajaran sesat dikenali sebagai New Age Movement (NAM).
Beliau turut mencabar pihak yang membuat dakwaan kontroversi itu supaya tampil menunjukkan bukti di mahkamah.
“Saya akan letak jawatan hanya apabila terbukti saya betul-betul menyesatkan orang, betul-betul ada orang yang saya sesatkan. Buktikan di mahkamah,” katanya, lapor portal berita, Free Malaysia Today.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Minum Petang Bersama Sahabat Wakaf Institut Kefahaman Islam di Kuala Lumpur, pada 1 Oktober.
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilaporkan telah menegur dan memberi nasihat serta panduan kepada Cik Marhamah, menyusuli penelitian terhadap isu yang mengaitkannya dengan ajaran sesat NAM.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata perkara itu melalui siasatan menyeluruh, termasuk sesi pertemuan dan tabayyun (menyemak dengan teliti) dengan Cik Marhamah, bagi mendapatkan penjelasan secara langsung.
Sesi itu ujar beliau, turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah Jakim serta pihak berkaitan bagi meneliti isu berkenaan dari sudut akidah, pihak berkuasa agama dan latar pemikiran NAM.
Bagaimanapun, Cik Marhamah enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan Jakim dan jelasnya agensi itu sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan.
“Saya tak boleh ulas. Doakan semoga Allah jaga kita semua,” katanya.
Terdahulu pada 18 September lalu, Cik Marhamah telah mengeluarkan kenyataan penafian terhadap dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran sesat NAM.
Beliau malah memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang menerbitkan atau menyebarkan dakwaan itu agar menarik balik kandungan yang dikongsikan di Facebook serta membuat permohonan maaf.
Kenyataan itu menyebut Cik Marhamah tidak pernah berguru, menghadiri kelas, bertemu atau berhubung secara langsung dengan individu yang terkait dengan NAM, selain menafikan beliau pernah mengajar, mempromosi atau menyebarkan amalan yang didakwa.
Namun, Cik Marhamah mengakui terdapat beberapa istilah yang pernah beliau gunakan tanpa mengetahui istilah tersebut dikaitkan dengan NAM.
NAM adalah satu gerakan kerohanian, metafizik dan mistik yang bermula pada era 1970-an.
Ahli antropologi dan penulis kelahiran Peru, Carlos Castaneda dianggap sebagai bapa pergerakan itu, menyusuli penerbitan buku, “rahsia mistik penduduk kaum Yaqui di Mexico” bertajuk, The Teachings of Don Juan: A Yaqui Way of Knowledge.
Sebelum ini, di awal pelantikan Cik Marhamah sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) untuk memegang jawatan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, beliau didakwa terlibat dalam kegiatan penipuan emas yang tular di media sosial.
Bagaimanapun, beliau menafikan perkara itu, sebaliknya, memaklumkan dirinya turut menjadi mangsa penipuan serta dikhianati dalam kes berkenaan.