KOTA BHARU: Seorang usahawan, yang juga pempengaruh media sosial di Kelantan, disiasat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), selepas beliau didakwa menganjurkan majlis sambutan ulang tahun kelahiran bertema ‘Perkampungan Bunian’ baru-baru ini.

Siasatan dibuat berikutan majlis yang tular di media sosial dan dilaporkan menelan perbelanjaan mencecah RM500,000 ($160,437) di samping disyaki bercanggah dengan ajaran Islam.

Menurut sumber, JAHEAIK sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan dan pegawai penyiasat dijangka memanggil saksi-saksi lain bagi membantu siasatan sekiranya memerlukan maklumat tambahan.

Sumber JAHEAIK berkata usahawan terbabit boleh berdepan denda sehingga RM5,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah kerana menganjurkan majlis sambutan hari lahir bertemakan ‘bunian’ yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Wanita itu boleh dikenakan tindakan sedemikian sekiranya Mahkamah Syariah mendapati beliau bersalah kerana menggalakkan perbuatan yang dianggap bercanggah dengan ajaran Islam melalui penganjuran majlis berkenaan.

“Ketika ini, kertas siasatan berada pada peringkat akhir oleh JAHEAIK dan sebaik sahaja ia lengkap, ia akan diserahkan kepada Ketua Pendakwa Syariah.

“Jika Pendakwa Syariah bersetuju, kes itu akan difailkan di Mahkamah Syariah untuk pertuduhan mengikut Seksyen 12 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia, pada 3 Jun.

Difahamkan, Seksyen 12 enakmen berkenaan berkaitan kesalahan menasihati, menggalakkan atau menghasut orang lain untuk melakukan perbuatan yang dianggap tidak bermoral atau bertentangan dengan ajaran Islam.

Pada 2 Jun, usahawan dan pempengaruh wanita berusia 34 tahun itu, dipanggil pihak berkuasa agama berhubung majlis sambutan hari lahir bertemakan ‘Perkampungan Bunian’ untuk anak-anak perempuannya yang menelan belanja kira-kira RM500,000.

JAHEAIK memanggil wanita itu bagi memberi keterangan berhubung majlis itu yang dipercayai diteliti kerana mengandungi unsur-unsur yang dianggap tidak selaras dengan ajaran Islam.

Majlis sambutan hari lahir yang diadakan di kediaman wanita itu di Tumpat baru-baru ini, menjadi tular di media sosial selepas video dan gambar acara berkenaan dikongsi secara meluas.

Sambutan itu diadakan sempena hari lahir tiga anak perempuannya dan menampilkan tema ‘Perkampungan Bunian’ yang diinspirasikan daripada filem berkaitan makhluk mistik.