Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan: M’sia kekal di tangga ke-57 Indeks Persepsi Rasuah 2024

M’sia garis visi capai kedudukan antara 25 negara teratas di dunia jelang 2033
Feb 11, 2025 | 4:28 PM
Malaysia mengekalkan kedudukan di tangga ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah bagi 2024.
Malaysia mengekalkan kedudukan di tangga ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah bagi 2024. - Foto ASTRO AWANI

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal di kedudukan ke-57 buat tahun kedua berturut-turut, dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi 2024, dengan skor 50 mata.

Kedudukan terbaru itu diperoleh hasil daripada sembilan tinjauan berbeza bagi mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di 180 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Menurut Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) dalam satu kenyataan pada 11 Februari, walaupun Malaysia berada di kedudukan yang kekal dan memperoleh skor sama seperti 2023, kerajaan perlu menyedari bahawa negara mempunyai visi mencapai kedudukan antara 25 negara teratas di dunia menjelang 2033.

“Malaysia perlu memperoleh skor sebanyak 68-70 mata untuk mencapai kedudukan tersebut.

“Oleh itu, Malaysia perlu meningkatkan skor sekurang-kurangnya dua mata setiap tahun sehingga 2033 demi mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata kenyataan tersebut pada 11 Februari, lapor Astro Awani.

TI-Malaysia menambah, tiga ‘negara bersih daripada ancaman rasuah’ pada 2025 dan berjaya menduduki tiga tangga teratas dalam indeks tersebut ialah Denmark, Finland dan Singapura.

Ketiga-tiga negara itu masing-masing memperoleh skor sebanyak 90 mata, 88 mata serta 84 mata.

TI-Malaysia menjelaskan antara sebab Malaysia berada di kedudukan dan skor yang sama adalah kerana perniagaan masih merasakan masalah rasuah merupakan isu utama yang perlu dibendung dalam sektor awam.

“Tradisi meminta rasuah dan memberi rasuah masih berleluasa.

“Tiada sebarang makluman perkembangan mengenai dua kes yang berkaitan Liabiliti Korporat (Pristine Offshore-2021 & Hydroshoppe-2023) yang berkemungkinan menyebabkan organisasi komersial tidak mengambil berat mengenai kepentingan Panduan Tatacara Mencukupi,” katanya.

Selain itu, usaha Pembaharuan Institusi masih bergerak perlahan walaupun Kerajaan Madani memberi penekanan terhadap tata kelola yang baik dan pembaharuan institusi.

Ia antaranya melibatkan penggubalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, pembentangan Akta Kebebasan Maklumat, Akta Perolehan Awam, Akta Perkhidmatan Parlimen, Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Politik dan Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Dalam masa yang sama, TI-Malaysia berkata sebab lain adalah semakan semula hukuman penjara dan pengurangan denda selepas disabitkan oleh mahkamah tertinggi ke atas kes berprofil tinggi mewujudkan persepsi unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman.

“Bilangan kes-kes digugur tanpa dibebaskan (DNAA), yang diberikan untuk kes berprofil tinggi juga mewujudkan persepsi bahawa terdapat unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman atau dalam proses pendakwaan.

“Walaupun pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat tangkapan, masih terdapat kes salah guna kuasa dan rasuah yang berterusan oleh penjawat awam.

“Contohnya, penahanan pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini akibat penyeludupan vape atau rokok elektronik yang bernilai sebanyak RM8 juta ($2.4 juta),” ujar TI-Malaysia lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg