LANGKAWI (Kedah): Jumlah korban tragedi bot membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) yang karam berhampiran sempadan maritim Malaysia – Thailand dekat Langkawi, Kedah, meningkat kepada 12 orang selepas lima lagi mayat ditemukan pihak berkuasa Malaysia pada 10 November.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, dalam satu kenyataan berkata semua mayat ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) antara 12.47 tengah hari hingga 3.31 petang.
“Kesemua yang ditemui terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
“Penemuan itu hasil peluasan sektor pencarian kepada 255.66 batu nautika persegi membabitkan pelbagai aset laut dan udara.
“Ini menjadikan keseluruhan lima mayat ditemukan sepanjang operasi pada 10 November,” katanya dalam kenyataan lapor Harian Metro.
Kawasan pencarian meliputi sekitar Pulau Tarutao, Thailand, dengan sektor selatan dikendalikan pihak berkuasa Malaysia, manakala sektor utara dikendalikan pasukan Thailand.
Operasi SAR memasuki hari ketiga pada 11 November, dengan radius pencarian diperluas kepada 272.8 batu nautika persegi.
Setakat ini, Buletin TV3 melaporkan jumlah mangsa yang ditemui di perairan Malaysia meningkat kepada 25 orang, dengan 12 daripadanya disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, pihak berkuasa Thailand turut melaporkan penemuan sembilan mayat di kawasan perairan mereka, menjadikan jumlah keseluruhan korban tragedi berkenaan kini mencecah 21 orang.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada 10 November menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang cubaan pencerobohan perairan negara termasuk oleh Pati atau kegiatan pemerdagangan manusia.
Bagaimanapun beliau berkata keutamaan tetap diberikan kepada usaha menyelamatkan nyawa apabila berlaku kejadian seperti bot atau kapal karam, sebagaimana berlaku di perairan sempadan di Langkawi itu.
“Sama ada istilahnya pelarian, penyeludupan manusia atau pemerdagangan orang, tugas utama agensi penguat kuasa adalah untuk menghalang mereka daripada memasuki perairan negara.
“Namun, kalau dah berlaku insiden macam bot karam misalnya, kerja kita adalah menyelamatkan dahulu,” katanya.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Penolong Pesuruhjaya Khairul Azhar Nuruddin, berkata bot kecil yang digunakan dalam keadaan daif dan membawa muatan berlebihan dikenal pasti menjadi punca tragedi bot membawa Pati karam berhampiran sempadan perairan Malaysia – Thailand, pada 6 November.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati bot kecil berkenaan pecah dan karam kira-kira sejam setengah selepas dinaiki kumpulan Pati di tengah laut.
“Mereka datang dari Buthidaung, Myanmar. Pada awalnya seramai 300 Pati menaiki bot besar. Apabila tiba di sempadan Malaysia – Thailand, kira-kira 70 orang dipindahkan ke bot kecil.
“Tidak lama kemudian, dalam tempoh lebih kurang satu jam setengah, bot itu karam. Ketika itu tidak hujan, cuma mendung dan laut agak bergelora,” katanya.
Encik Khairul Azhar berkata siasatan awal mendapati semua yang ditahan terdiri daripada etnik Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg