Seiring perkembangan semasa dan pengaruh pemikiran serta budaya merentasi sempadan, konsep pemikiran dalam pembentukan keluarga bagi pasangan baru berkahwin mula cenderung kepada perkahwinan ‘bebas anak’.
Pemikiran ini pasti mempunyai pengaruh dan tanggapan daripada pelbagai perspektif. Pemikiran ini berasal daripada masyarakat Barat kerana majoriti mereka berpegang kepada prinsip kebebasan dalam kehidupan.
Terma ‘bebas anak’ ini biasanya merujuk individu dewasa yang merancang atau menanam komitmen untuk tidak mempunyai anak. Mereka adalah individu dewasa memilih tidak memiliki anak walaupun mampu dari segi kewangan dan kesihatan.
Golongan ini memilih hidup berumah tangga tanpa anak kerana beranggapan ia menyebabkan beban kewangan meningkat, apatah lagi dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini, sekali gus menghalang mereka menikmati gaya hidup diingini.
Faktor mempengaruhi trend perkahwinan ‘bebas anak’ ini boleh berpunca daripada perspektif luaran mahupun dalaman. Mereka berpendapat keputusan itu adalah hak kebebasan atau berpegang kepada konsep ‘tubuh mereka, hak mereka’.
Perkembangan trend pemikiran ini jika tidak dikawal pada peringkat awal akan mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding kebaikan.
Menurut kenyataan dikeluarkan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Datuk Dr Maziah Che Yusoff, penurunan Kadar Kesuburan Jumlah bagi wanita di negara itu akan mempercepat proses penuaan penduduk yang mana dijangka 15 peratus penduduk berusia 60 tahun dan ke atas pada 2030.
Keadaan dapat diunjurkan apabila berlaku penurunan bilangan anak yang pesat bagi seorang wanita daripada 6.7 anak pada 1957 kepada empat anak pada 1980, tiga anak (2000), 2.1 anak (2010) dan 1.7 anak (2021), situasi ini secara tidak langsung mempengaruhi pertumbuhan negara pada masa akan datang.
Pengurangan kadar kelahiran secara pesat di Malaysia akan menjerumuskan penduduk negara kepada pembentukan masyarakat tua, secara tidak langsung menjejas pembangunan negara pada masa hadapan.
Walaupun masalah ini tidak berlaku dalam masa singkat, namun tempoh 10, 20 atau 30 tahun akan datang sudah pasti peratus golongan warga emas lebih tinggi berbanding penduduk individu seharusnya tergolong dalam kumpulan produktif dalam pasaran pekerjaan bagi memastikan kelangsungan ekonomi sesebuah negara.
Krisis pertumbuhan penduduk sesebuah negara yang mula menuju ke arah pembentukan masyarakat tua akan menurunkan kadar potensi produktiviti tenaga kerja dan pendapatan negara.
Pada masa sama meningkatkan masalah sosial seperti ‘mati sendirian’ yang banyak berlaku di Jepun.
Keadaan ini terjadi apabila warga emas tinggal bersendirian tanpa ahli keluarga meninggal dunia tanpa disedari masyarakat sekeliling.
Jepun tergolong antara negara memiliki jumlah warga emas semakin meningkat di dunia, menyaksikan penurunan berterusan jumlah perkahwinan dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
Trend itu dilihat berlaku apabila ekonomi terbantut turut memberi kesan kepada generasi muda.
Kesimpulannya, pembentukan unit keluarga dasar yang kukuh perlu dilaksanakan bagi memastikan masyarakat lebih harmoni dan membangun pada masa akan datang.
Oleh itu, corak pemikiran perkahwinan tanpa anak ini perlu dibendung bermula pada peringkat awal bagi mengelak masalah sosial mati sendirian dalam kalangan warga emas dan meningkatkan potensi Malaysia menuju status negara menua.
Ia sekali gus memastikan kesihatan mental optimum dalam kalangan masyarakat serta mengurangkan risiko masalah ketidakseimbangan penduduk penduduk lebih serius pada masa akan datang.
Tidak salah untuk pasangan mengawal kadar kelahiran anak dalam sesebuah keluarga dengan tujuan memastikan kebajikan, pendidikan, kesihatan, kewangan dan kasih sayang dapat diberikan secara optimum kepada anak.
Namun, tidak wajar untuk pasangan sudah berkahwin memilih mengamalkan gaya hidup bebas tanpa anak, melainkan disebabkan faktor kesihatan kerana ia juga jelas bertentangan dengan fitrah manusia.
Sedutan rencana ini kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg