Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Kadar kesuburan S’pura jatuh ke rekod terendah 0.97 pada 2023

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kadar kesuburan S’pura jatuh ke rekod terendah 0.97 pada 2023

Feb 28, 2024 | 09:00 PM



Buat pertama kali dalam sejarah Singapura, kadar purata kesuburan keseluruhan (TFR) negara ini merosot di bawah paras 1.0.

Unjuran awal menunjukkan kadar TFR jatuh kepada 0.97 pada 2023 daripada rekod sebelum ini, iaitu 1.05 pada 2022 dan 1.12 pada 2021.

Mendedahkan statistik itu di Parlimen pada 28 Februari, Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Cik Indranee Rajah, berkata kadar kesuburan kekal rendah berlaku sedang populasi Singapura semakin menua, sekali gus menimbulkan cabaran demografi kembar.

Bercakap semasa perbahasan belanjawan PMO, Cik Indranee berkata angka terkini itu meletak Singapura dalam kalangan negara yang mempunyai kadar kelahiran terendah di dunia. Korea Selatan mendahului senarai itu dengan kadar purata 0.72 pada 2023.

“Ada pelbagai faktor yang menyumbang kepada kadar kesuburan rendah di Singapura. Ada bersifat sementara. 

“Sebagai contoh, rancangan sebilangan pasangan untuk mendirikan rumah tangga terganggu oleh Covid-19, dan ini mungkin menjejas rancangan mereka untuk mempunyai anak.

“Ada juga berkongsi bahawa mereka bimbang soal kos membesarkan anak, tekanan menjadi ibu bapa contoh atau kesukaran mengurus komitmen kerja dan keluarga,” kata Cik Indranee.

Menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) mengenai trend penduduk, Cik Indranee berkata di banyak negara maju lain, kemerosotan kesuburan mencerminkan perubahan generasi dalam keutamaan dan norma masyarakat.

Kemerosotan TFR mempunyai “implikasi serius” terhadap masa depan negara, katanya, dan Singapura sudah pun menyaksikan kesan kemerosotan itu terhadap masyarakat. 

“Keluarga hari ini lebih kecil berbanding sebelum ini, dengan lebih ramai pasangan ‘sandwic’ yang terpaksa menjaga anak dan orang tua mereka.

“Sebilangan besar rakyat Singapura kekal bujang, dan akan mempunyai rangkaian sokongan keluarga yang lebih lemah apabila mereka meningkat dewasa,” kata Cik Indranee, yang menyelia Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) di bawah Kumpulan Strategi PMO.

Selain kesan sosial kadar TFR yang merosot, Cik Indranee berkata ada juga kesan ketara ke atas ekonomi, kerana “ekonomi yang cergas” didorong oleh penduduknya.

Oleh itu, dengan jumlah kelahiran semakin sedikit, Singapura akan menghadapi tenaga kerja yang kian berkurang.

“Akan lebih mencabar untuk mengekalkan dinamisme kita, menarik perniagaan global, dan mencipta peluang untuk generasi akan datang,” tambah Cik Indranee.

Bagaimanapun, beliau berkata golongan muda Singapura masih mempunyai keinginan mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak.

Pada 2023, terdapat 26,500 perkahwinan penduduk dan 30,500 kelahiran penduduk. Namun, kian sedikit perkahwinan dan kelahiran penduduk setiap tahun secara purata sepanjang lima tahun lalu, berbanding lima tahun sebelumnya, ujar Cik Indranee.

Perkahwinan penduduk ialah perkahwinan melibatkan sekurang-kurangnya seorang rakyat atau Penduduk Tetap (PR) Singapura, manakala kelahiran penduduk merujuk kepada bayi yang dilahirkan oleh sekurang-kurangnya seorang ibu bapa warga atau PR Singapura.

Bagi mengurangkan kesan kadar kelahiran rendah dan trend penuaan, Singapura memberi kewarganegaraan pada kadar “terukur dan stabil”, katanya.

Pada 2023, Singapura memberikan sekitar 23,500 kerakyatan baru, termasuk sekitar 1,300 kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu bapa warga Singapura. 

Singapura juga meluluskan 34,500 permohonan menjadi PR di sini.

Sebagai respons kepada AP Parti Pekerja (WP), Encik Faisal Manap (GRC Aljunied), tentang keperluan mengekalkan keseimbangan kaum penduduk warga Singapura, Cik Indranee berkata kemasukan pendatang “diurus dengan teliti”.

“Kepantasan dan profil kemasukan imigresen kita telah dan akan terus diurus untuk mengekalkan keseimbangan kaum dalam populasi warga Singapura,” tambahnya.

“Kami memberi PR atau kewarganegaraan kepada mereka yang berupaya berintegrasi dengan baik, menyumbang kepada Singapura, dan komited menjadikan Singapura sebagai rumah mereka,” jelas beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >