Jika sebelum ini Menara Berkembar Petronas – yang pernah dinobatkan bangunan tertinggi di dunia, selain Menara Kuala Lumpur – menjadi tarikan jutaan pelancong antarabangsa, Malaysia kini semakin pesat dengan mercu tanda baru yang membanggakan menerusi projek Tun Razak Exchange (TRX).
Terletak dalam lingkungan kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur sebagai hab komersial utama negara, projek TRX memeriahkan lagi panorama di ibu kota dengan bangunan ikonik baru, Exchange 106.
Dibangunkan di atas kawasan seluas 70 ekar, TRX yang dirancang sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC) pertama negara menjanjikan Malaysia destinasi pelaburan berkualiti tinggi yang melonjakkan minat pelabur tempatan dan antarabangsa.
Malah TRX turut menjalankan kajian penanda aras IFC terbaik dunia termasuk di Canary Wharf, London; Pudong, China; Marina Bay Sands, Singapura; Dubai IFC dan Wall Street.
Menariknya, di sebalik menara pencakar langit Exchange 106, projek TRX turut meliputi pusat beli-belah The Exchange TRX, selain beberapa menara pejabat seperti Menara Affin Bank, Menara Prudential dan Menara IQ, projek kediaman serta hotel.
Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd, Datuk Azmar Talib, berkata The Exchange TRX dan Taman Bandar TRX juga telah menjadi destinasi gaya hidup baru untuk bandar Kuala Lumpur.
The Exchange TRX menawarkan pelbagai jenama baru di Malaysia, termasuk aneka fesyen, makan minum (F&B) dan pelbagai pilihan hiburan keluarga.
Menurut beliau, Taman Bandar TRX seluas 10 ekar di atas The Exchange TRX memberikan pengalaman yang tidak pernah ada di Kuala Lumpur sebelum ini.
“Oasis menghijau ini menawarkan ruang berehat, santai dan rekreasi untuk seisi keluarga. Bukan itu saja, TRX turut menawarkan pelbagai ruang awam yang menghijau di setiap sudut daerah ini. Ini termasuk Raintree Plaza yang menghubungkan TRX dengan Bukit Bintang.
“Ruang awam ini sentiasa meriah dengan pelbagai aktiviti, menjadikan TRX kekal aktif dan itulah sebabnya TRX menjadi nadi sosial baru bandar Kuala Lumpur,” katanya kepada Berita Minggu (BM).
Justeru, tidak hairanlah sejak dibuka kepada umum, ia terus-terusan menarik kunjungan pelancong dalam dan luar negara.
Tambah Datuk Azmar, kebolehsampaian adalah antara satu ciri penting dalam sesebuah projek pembangunan dan untuk itu, TRX punya kelebihan kerana dimajukan berorientasikan pembangunan transit selaras menyahut seruan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.
Orang ramai yang ingin berkunjung ke TRX boleh tiba melalui pelbagai jaringan pengangkutan termasuk tren Transit Aliran Massa (MRT). MRT di TRX menghubungkan pengunjung dengan 64 stesen di Lembah Klang.
Selain itu lokasi strategik TRX yang dilingkari lebuh raya di Kuala Lumpur memudahkan pemandu kenderaan masuk melalui 12 akses jaringan jalan raya.
Sejak pembukaan The Exchange TRX pada akhir November 2023, ramai pengunjung datang melalui MRT. TRX juga dilengkapi kemudahan jaringan pejalan kaki yang baik yang menghubungkan daerah TRX ke Jalan Bukit Bintang serta kawasan sekitarnya.
Pusat beli-belah The Exchange TRX yang dibangunkan dengan kerjasama antara TRX City dan Lendlease International mempunyai 2.2 juta ruang lantai kasar (GFA) untuk sektor runcit dan hab gaya hidup.
The Exchange TRX bukan saja menjadi tarikan buat warga kota, malah destinasi beli-belah utama untuk pelancong terutama dari negara jiran Singapura, Indonesia, China dan negara Timur Tengah.
Menghimpunkan lebih 400 jenama terkemuka, gabungan pusat beli-belah The Exchange dengan Taman Bandar TRX di bumbung menjadikannya sebagai hab ikonik baru untuk gaya hidup dan sosial di Kuala Lumpur.
Pelancong dari Jakarta, Indonesia, Encik Syachril, 40 tahun, berkata beliau dan keluarga teruja mengunjungi TETRX buat kali pertama, selepas membaca mengenainya di laman sosial.
“Tahniah Malaysia kerana terus membangun dengan pelbagai projek mega dan The Exchange TRX akan menjadi pilihan utama pelancong untuk membeli-belah dan berlibur selepas ini,” katanya yang datang bersama isteri dan tiga anak.
Penuntut jurusan perubatan, Cik Nurul Syafiqah Harizan, 22 tahun, yang berasal dari Melaka, berkongsi rasa bangga dengan pembangunan TRX yang akan menjadi satu lagi nadi ekonomi negara dan tarikan pelancong dari serata dunia.
“Sebagai rakyat Malaysia tentunya saya gembira dan berbangga melihat negara terus membangun. Sudah pasti kita mahu melihat negara terus berkembang maju dan TRX sebagai hab ekonomi akan menjadi pemangkin ekonomi dengan lebih hebat lagi,” katanya.
Cik Nur Faridah Jamal, 27 tahun, dari Batu Pahat, Johor, berkata kunjungan pertamanya ke TRX menimbulkan rasa kagum sekali gus mengimbau legasi kepimpinan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mencetus idea pembangunan TRX.
“Banyak port menarik di The Exchange TRX untuk pelancong mengabadikan gambar kenangan. Saya tertarik dengan konsep Taman Bandar di sini. Siapa sangka, TRX melakar sejarah menjadi yang pertama mewujudkan Taman Bandar di atas bumbung pusat beli-belah di Malaysia,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg