Pada penghujung Ramadan dan menjelang Syawal, tukang gunting rambut antara orang paling sibuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahu kelihatan kemas dan bergaya menyambut Aidilfitri.
Dengan permintaan meningkat berkali ganda pada saat akhir sebelum Hari Raya, kedai gunting rambut bukan saja melanjutkan waktu operasi, malah menambah bilangan pekerja supaya pelanggan tidak menunggu terlalu lama.
Tinjauan Berita Harian (BH) di kedai gunting rambut Gombak Barbers Turf (GBT) di Batu Caves, Selangor, mendapati pelanggan sanggup menunggu giliran hingga di luar kedai itu untuk mendapatkan khidmat tukang gunting rambut kegemaran mereka.
Seorang tukang gunting, Encik Ahmad Agus Alfani, 23 tahun, berkata beliau ‘tak menang tangan’, peribahasa bermaksud banyak kerja, melayan pelanggan menjelang Syawal dalam beberapa hari ini, dan majikannya menggajikan hingga 12 tukang gunting rambut.
“Ramai suka gunting rambut saat akhir kerana mahu gaya rambut baru tahan lebih lama sepanjang Aidilfitri. Disebabkan itu pelanggan terpaksa menunggu hingga di luar kedai, terutama waktu malam.
“Setiap hari, terutama sepanjang dua minggu terakhir Ramadan, dianggarkan lebih 300 pelanggan datang untuk mendapatkan khidmat kami,” katanya ketika ditemui BH di GBT.
Malah, katanya, dengan langkah kedai itu melanjutkan waktu tutupnya dari 9.30 malam kepada 12 tengah malam pada Ramadan, GBT mengenakan caj tambahan RM5 ke atas setiap pelanggan. Namun, ia diterima baik pelanggan yang berpuas hati dengan mutu perkhidmatan mereka, ujar Encik Ahmad Agus.
“Alhamdulillah memang tak putus-putus pelanggan datang hingga kami menyediakan kerusi di luar kedai buat pelanggan yang perlu menunggu giliran. Kami juga guna sistem nombor bagi mengelakkan masalah ‘potong giliran’.
“Walaupun terpaksa mengenakan caj tambahan kerana tukang gunting perlu bekerja dalam tempoh lebih panjang, tiada pelanggan merungut kerana mereka faham dan suka dengan hasil kerja kami,” tambah Encik Ahmad Agus.
Menurutnya, bayaran khidmat gunting rambut di GBT adalah daripada RM10 hingga RM25. Tempoh menunggu pelanggan bergantung pada jenis gaya potongan rambut yang diminta setiap pelanggan.
“Semakin rumit gaya diminta, semakin lama tempoh menggunting rambut. Paling cepat 15 minit sudah siap dan paling lama boleh cecah hingga 40 minit,” katanya, sambil menambah bahawa gaya burst fade dan low fade paling diminati pelanggan.
Bagi Encik Ahmad Abdul Naser, 24 tahun, walaupun ada banyak kedai gunting rambut di kawasan tempat tinggalnya di Sentul, Kuala Lumpur, beliau tetap memilih GBT kerana sukakan sentuhan dan kekemasan guntingan pekerja GBT.
“Mereka sangat profesional dan teliti ketika menggunting rambut pelanggan. Malah layanan juga sangat baik.
“Persiapan lain, termasuk pakaian baru, sudah sedia, jadi rambut juga perlu dipotong untuk pastikan penampilan kemas di pagi raya,” katanya, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.
Remaja Muhammad Dzulkarnain Shah Amirul Afifi, 15 tahun, berkata dia baru menggunting rambut sebulan lalu, namun dia datang ke GBT sebelum pulang ke kampung untuk gaya rambut kemas sempena Aidilfitri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg