Topik diikuti
Pergi ke BHkuUjian percubaan sistem imigresen bersepadu RTS Link pada Dis
Pastikan prosedur operasi kastam, imigresen dan kuarantin M’sia-S’pura berjalan lancar sebelum RTS beroperasi
Ujian percubaan sistem imigresen bersepadu RTS Link pada Dis
PUTRAJAYA: Simulasi operasi penuh Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) akan dijalankan di stesen Rel Transit Pantas (RTS) Bukit Chagar di Johor Bahru dari 1 hingga 15 Disember, kata Kementerian Dalam Negeri Malaysia.
Kementerian itu menambah bahawa di pihak Singapura, simulasi akan diadakan di stesen RTS Woodlands dari 16 hingga 30 Disember.
“Simulasi yang dijalankan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) itu bertujuan memastikan kesiapsiagaan sistem, kakitangan dan kemudahan pemeriksaan imigresen menjelang operasi RTS Link (Laluan Sistem Transit Laju) Johor Bahru-Singapura,” katanya.
Kementerian itu berkata stesen RTS Bukit Chagar akan menggunakan NIISe sepenuhnya bagi semua urusan pemeriksaan dan pelepasan imigresen, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam transformasi digital pengurusan sempadan negara.
“Simulasi itu dijalankan untuk menguji kestabilan sistem NIISe, termasuk penggunaan aplikasi, kod respons pantas (QR) dan pintu automatik (eGate). Ia juga bertujuan memastikan prosedur operasi kastam, imigresen dan kuarantin antara Malaysia dengan Singapura berjalan lancar,” katanya.
Kementerian itu berkata bakal pengguna RTS Link digalakkan memuat turun aplikasi MyNIISe dan melengkapkan pendaftaran lebih awal bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan apabila perkhidmatan itu mula beroperasi.
“Penggunaan teknologi dan kesiapsiagaan penguatkuasaan yang dipertingkat mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh keselamatan sempadan negara, di samping menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan selamat kepada orang ramai,” katanya.
Pada 27 Oktober, Menteri Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sistem NIISe, yang membolehkan pemeriksaan imigresen menggunakan QR, dijangka mula dilaksanakan pada Januari 2027.
Beliau berkata sistem itu, yang kini dalam fasa percubaan, membolehkan pemeriksaan imigresen melalui imbasan kod QR menggunakan pasport fizikal atau Kad Ketibaan Digital Malaysia. – Agensi berita.