Topik diikuti
Pergi ke BHkuPakar pengangkutan: RTS sahaja tidak cukup atasi kesesakan JB
Tiga ahli akademik saran kerajaan Johor utama khidmat bas pengantara, laluan khas bas dan tempat letak kenderaan di pinggir bandar sebelum rancang projek besar seperti RTS kedua dan jambatan ketiga
Pakar pengangkutan: RTS sahaja tidak cukup atasi kesesakan JB
Pembukaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura pada Februari 2027 belum tentu dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di Johor Bahru sekiranya sistem pengangkutan awam tempatan tidak dipertingkat bagi memudahkan pengguna menuju ke stesen Bukit Chagar.
Tiga pakar pengangkutan berpandangan kejayaan RTS Link bukan sekadar bergantung pada kemampuan membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, tetapi juga keupayaan mengurangkan penggunaan kereta dan motosikal persendirian.
Mereka berpendapat penyediaan rangkaian bas pengantara yang cekap, laluan khas bas dan kemudahan tempat letak kenderaan di pinggir bandar perlu diutamakan, berbanding terus bergantung kepada pembinaan jalan raya atau projek prasarana besar.
Malah, cadangan membina RTS Link kedua antara Iskandar Puteri dengan Tuas, perkhidmatan teksi air Kong Kong – Changi dan jambatan ketiga Johor – Singapura turut memerlukan penelitian menyeluruh kerana setiap pilihan mempunyai batasan tersendiri.
Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Lestari (RISE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Muhammad Zaly Shah, berkata RTS Link dibangunkan khusus untuk memindahkan perjalanan rentas sempadan daripada kenderaan jalan raya kepada pengangkutan rel.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kesesakan di Johor Bahru turut berpunca daripada perjalanan tempatan yang berada di luar skop perkhidmatan tersebut.
“Kita perlu jelas dahulu tentang apa yang RTS Link boleh lakukan. Ia dibina untuk memindahkan perjalanan rentas sempadan daripada kenderaan dan bas ke rel.
“Kesesakan di seluruh Johor Bahru pula banyak datang daripada perjalanan tempatan dan perjalanan ke CIQ (Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin), yang berada di luar skop RTS Link.
“Oleh itu, kejayaannya patut diukur melalui jumlah pengguna yang beralih daripada kereta dan motosikal ke rel,” katanya kepada Berita Harian (BH).
BAS PENGANTARA PERLU JADI KEUTAMAAN
Profesor Dr Muhammad Zaly berkata antara langkah paling penting ialah penyediaan bas pengantara ke Bukit Chagar yang kerap, menepati masa serta mempunyai sistem tambang bersepadu.
Beliau turut mengusulkan laluan khas bas di jalan utama menuju pusat bandar dan CIQ, selain kemudahan meletak kenderaan di pinggir bandar.
“Pengguna hanya akan memilih bas jika ia lebih cepat daripada kereta.
“Saya tidak menyarankan kita cepat kembali kepada penyelesaian melebarkan jalan raya, kerana kebergantungan pada kenderaan persendirian hanya akan berkurang apabila pengangkutan awam menjadi pilihan yang lebih baik,” katanya.
Pandangan itu dikongsi Penyelidik Utama, Pusat Pemanduan Bijak, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Munzilah Md Rohani.
Menurut beliau, masalah utama yang perlu ditangani ialah hubungan perjalanan dari kawasan kediaman ke stesen pengangkutan awam dan seterusnya ke destinasi akhir.
“Kalau kita mahu menggalakkan orang menggunakan RTS, kita perlu tahu mereka bergerak dari mana dan ke mana.
“Bas pengantara perlu menghubungkan kawasan kediaman seperti Tebrau, Mount Austin dan Skudai dengan stesen RTS. Perkhidmatan itu juga mesti cepat, selesa dan menepati masa,” katanya.
Beliau turut menekankan supaya tempat letak kenderaan disediakan di luar pusat bandar agar pengguna boleh beralih kepada bas sebelum memasuki kawasan sesak.
“Kalau tempat letak kenderaan itu dibina berhampiran stesen RTS di pusat bandar, pengguna masih perlu memandu masuk ke Johor Bahru.
“Maknanya, kesesakan sudah berlaku sebelum mereka menaiki pengangkutan awam,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang, Dr Razieman Mohd Yusoff, mencadangkan bas pengantara beroperasi setiap lima hingga 10 minit pada waktu sibuk.
Beliau turut menyarankan kemudahan tempat letak kenderaan di kawasan seperti Kempas, Pasir Gudang dan Senai disambungkan kepada perkhidmatan bas terus ke Bukit Chagar.
“Jika setiap komuter masih perlu memandu kereta persendirian semata-mata untuk sampai ke stesen Bukit Chagar, kita sebenarnya bukan menyelesaikan masalah, tetapi sekadar mengalihkan titik kesesakan terus ke jantung pusat bandar raya,” katanya.
RTS KEDUA BERPOTENSI BANTU LINKEDUA
Mengulas cadangan pembinaan RTS Link kedua antara Iskandar Puteri dengan Tuas, Profesor Dr Muhammad Zaly berkata laluan berkenaan mempunyai potensi memudahkan perjalanan pekerja yang berkhidmat di kawasan perindustrian barat Singapura.
Namun, beliau menjelaskan kesannya mungkin lebih ketara di Linkedua berbanding Tambak Johor kerana kedua-dua lintasan melayani kawasan perjalanan berbeza.
“Rel ke Tuas berpotensi lebih banyak meringankan beban Linkedua berbanding Tambak Johor.
“Sama ada jumlah penggunanya mencukupi atau tidak memerlukan kajian terperinci mengenai tempat tinggal dan tempat kerja pengguna, serta berapa ramai yang benar-benar akan beralih kepada pengangkutan rel,” katanya.
Profesor Madya Dr Munzilah pula berpandangan pembangunan RTS kedua wajar dipertimbangkan, namun pembiayaan projek dan pembahagian kos antara kedua-dua negara perlu diteliti.
Beliau berkata hasil tambang sahaja berkemungkinan tidak mencukupi untuk menampung kos pembinaan, menyebabkan manfaat ekonomi jangka panjang turut perlu diambil kira.
Dr Razieman turut menyokong kajian lanjut terhadap cadangan itu, khususnya bagi memudahkan pekerja dari Gelang Patah, Iskandar Puteri dan kawasan sekitarnya ke Tuas.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pembangunan di sekitar stesen dan pertumbuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) perlu menyokong jumlah pengguna yang mencukupi.
“Membina rel sahaja tidak cukup. Ekosistem pekerjaan dan perniagaan di sekitarnya mesti hidup terlebih dahulu untuk membawa penumpang yang mencukupi,” katanya.
TEKSI AIR ALTERNATIF, BUKAN PENYELESAIAN UTAMA
Mengenai saranan teksi air antara Kong Kong dengan Changi yang pernah dibangkitkan pada 2016, ketiga-tiga pakar berpandangan perkhidmatan itu masih relevan sebagai pilihan tambahan.
Profesor Dr Muhammad Zaly berkata laluan laut berpotensi menjimatkan masa pekerja dari timur Johor Bahru yang bekerja berhampiran Changi.
Namun, kapasiti bot, keadaan cuaca, kos operasi dan keperluan pemeriksaan imigresen di kedua-dua jeti perlu dipertimbangkan.
“Beliau turut menyarankan kemudahan tempat letak kenderaan di kawasan seperti Kempas, Pasir Gudang dan Senai disambungkan kepada perkhidmatan bas terus ke Bukit Chagar.
“Jika jumlah itu tidak lebih baik daripada pilihan sedia ada, pengguna tidak akan beralih,” katanya.
Beliau mencadangkan projek percubaan berskala kecil dilaksanakan terlebih dahulu bagi menilai permintaan dan kos sebelum pelaburan besar dibuat.
Menurut Dr Razieman, perkhidmatan itu lebih sesuai bagi kumpulan pekerja tertentu di Changi, Loyang dan kawasan perindustrian timur Singapura berbanding dijadikan pengangkutan utama ratusan ribu pekerja rentas sempadan.
JAMBATAN KETIGA BUKAN JAWAPAN JANGKA PANJANG
Dalam pada itu, ketiga-tiga pakar turut mempersoalkan keberkesanan pembinaan jambatan ketiga antara Johor dengan Singapura sebagai penyelesaian jangka panjang.
Profesor Dr Muhammad Zaly menjelaskan pertambahan kapasiti jalan raya lazimnya menarik lebih banyak kenderaan sehingga kesesakan kembali berlaku.
“Kesesakan juga cenderung berpindah ke jalan-jalan penghubung, pusat bandar dan terutama sekali CIQ.
“Selagi CIQ tidak ditambah baik, jambatan ketiga hanya akan memindahkan barisan kenderaan dari satu tempat ke tempat lain,” katanya.
Beliau mencadangkan sebarang jambatan baru, jika diteruskan, mengutamakan pengangkutan awam dan pergerakan barangan, bukannya kenderaan persendirian.
Dr Razieman menambah, penguatkuasaan laluan khas bas, peluasan perkhidmatan bas dan penyediaan tempat letak kenderaan di pinggir bandar merupakan langkah lebih segera dan menjimatkan sementara menunggu pembangunan Sistem Transit Aliran Autonomi (E-ART).
“Selagi bas masih tersangkut dalam deretan kesesakan yang sama dengan kereta persendirian, pengguna tidak akan meninggalkan kenderaan mereka.
“Bas hanya akan menjadi pilihan jika ia terbukti bergerak lebih laju dan boleh diharap berbanding memandu sendiri,” katanya.