Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Umno Johor gesa Muda hormati keputusan mahkamah

Aug 19, 2025 | 4:13 PM
Umno, Zahid, Muda
Naib Ketua Pemuda Umno Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain. - Foto ihsan UMNO JOHOR

Umno Johor menggesa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menghentikan tindakan mempolitikkan isu undang-undang dengan mendesak agar kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dibuka semula, kerana ia disifatkan sebagai percubaan menggugat keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman negara.

Naib Ketua Pemuda Umno Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain, berkata Muda sepatutnya menghormati keputusan mahkamah dan proses perundangan negara yang sudah pun berjalan mengikut lunas undang-undang.

Beliau menegaskan, contoh jelas dapat dilihat dalam kes membabitkan Presiden Muda sendiri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang didakwa dan disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

Walaupun kes itu mendapat perhatian ramai, tidak ada pihak yang cuba mempolitikkan keputusan tersebut.

“Semua pihak akur bahawa badan kehakiman negara adalah bebas dan berintegriti. Tetapi, sikap Muda yang hanya memilih untuk mempersoalkan kes tertentu, sedangkan apabila melibatkan pemimpin mereka sendiri mereka menutup mata, jelas menunjukkan sikap double standard yang tidak membantu mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan,” katanya dalam kenyataan media pada 18 Ogos.

Beliau menegaskan bahawa dalam negara ini, tiada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang – sama ada rakyat biasa mahupun pemimpin negara, semua tertakluk kepada proses perundangan yang adil dan telus.

Tambahnya, lebih baik sekiranya Muda menumpukan perhatian kepada isu-isu rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan masa depan anak muda, daripada terus mempolitikkan isu yang sudah melalui saluran undang-undang.

“Anak muda hari ini memerlukan huraian, bukannya slogan jalanan. Sebagai anak muda, marilah kita bersama-sama mengangkat politik yang matang, berhemah dan membina, bukan politik provokasi yang hanya menambah kekeliruan rakyat,” katanya.

Ketua Penerangan Umno Johor, Encik Md Israk Abdullah, turut menempelak tindakan Muda, khususnya kenyataan pemangku presidennya, Cik Amira Aisya Abdul Aziz, yang mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) membuka semula kes berkenaan.

Menurutnya, Malaysia sebuah negara berdaulat dengan sistem perundangan yang lengkap serta dihormati, dan keputusan mahkamah memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) terhadap Datuk Ahmad Zahid adalah keputusan undang-undang, bukan keputusan politik.

“DNAA ini dibuat setelah mahkamah menilai hujah pihak pendakwaan dan pembelaan. Ia adalah proses sah berlandaskan undang-undang, dan tidak wajar diputar belit demi kepentingan politik sempit,” katanya.

“DNAA bukan keputusan politik, tetapi keputusan undang-undang yang boleh disemak semula jika pihak berkuasa mendapati ada keperluan. Muda tidak sepatutnya cuba menggantikan peranan mahkamah dengan tekanan politik atau retorik yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman,” katanya.

Terdahulu, Cik Amira Aisya berkata Muda telah melancarkan kempen menuntut AGC membuka semula kes-kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Datuk Ahmad Zahid. Beliau berkata kempen itu penting kerana rakyat berhak tahu kebenaran, lapor Malaysiakini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg