Topik diikuti
Pergi ke BHkuUmno kembali bangkit, tonjol kekuatan tuju puncak kuasa di Putrajaya
Semakin lantang, berani tentukan haluan politik jelang PRU16
Umno kembali bangkit, tonjol kekuatan tuju puncak kuasa di Putrajaya
Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 menyerlahkan lagi langkah politik Umno yang semakin bersedia untuk keluar daripada bayang-bayang Pakatan Harapan (PH) – rakan gabungannya dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan sasaran parti itu kembali menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Selepas hampir empat tahun berada dalam Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 pada November 2022, PAU kali ini memperlihatkan Umno semakin lantang dan berani menentukan haluan politiknya sendiri menjelang PRU16.
Umno mungkin berasakan parti itu, yang tumbang pada PRU 2018 selepas enam dekad mentadbir Malaysia, kini semakin pulih, kuat dan menjadi rebutan lawan politik untuk menjalin kerjasama.
PAU 2026 datang selepas Umno/Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan bergaya pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) berturut-turut, baru-baru ini.
Parti itu memenangi 48 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor, 11 Julai lalu.
Dua minggu kemudian kejayaan itu berulang di PRN Negeri Sembilan, menerusi persefahaman pembahagian kerusi dengan gabungan pembangkang – Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Parti Islam SeMalaysia (PAS) dalam PRN Negeri Sembilan.
Kerjasama itu membolehkan Umno/BN-PN menumbangkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu, apabila memenangi 21 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN.
Perkembangan tersebut sekali gus melonjakkan keyakinan Umno bahawa parti itu kembali kuat dan menambah hati pengundi.
Keyakinan itu kemudian dizahirkan dengan ucapan berani Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan pemimpin dan perwakilan di PAU 2026 yang bermula 9 hingga 12 September lalu, apabila mendesak Datuk Anwar segera membubarkan Parlimen dan memberi laluan PRU16 diadakan.
Namun, dalam masa sama, menegaskan Umno akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Kelantangan Umno itu kemudian dibalas dengan kenyataan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) – parti komponen dalam PH yang diketuai Datuk Anwar – bahawa Umno tidak perlu mencabar Perdana Menteri mengeluarkan parti itu daripada kerajaan.
Sebaliknya, Ahli Parlimen (AP) Pasir Gudang, Encik Hassan Abdul Karim, berkata tiga pilihan itu ialah menarik balik sokongan AP Umno dan BN terhadap kerajaan, menteri Umno meletakkan jawatan daripada Kabinet atau mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Datuk Anwar apabila persidangan Parlimen bermula 5 Oktober ini.
Penganalisis politik, Encik Mujibu Abdul Muis, berkata beliau pasti Umno jelas dengan langkah yang boleh diambil jika parti itu sudah tidak mahu berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Namun, katanya, terdapat beberapa pertimbangan yang menyebabkan Umo tidak memilih untuk menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan, termasuk faktor angka dan kepentingan politik parti.
Menurut beliau, sekiranya 30 AP BN menarik sokongan, dengan Sabah dan Sarawak masih kekal bersama Kerajaan Perpaduan, kerajaan Datuk Anwar berkemungkinan masih mempunyai majoriti yang mencukupi untuk terus bertahan.
“Jadi, kalau Umno keluar, ia tidak semestinya memberikan apa-apa kelebihan kepada BN kerana dari segi angka, Kerajaan Perpaduan masih boleh bertahan.
“Pada masa sama, apabila keluar daripada kerajaan, Umno/BN akan kehilangan akses kepada kuasa, sumber dan kewangan yang saya rasa penting bagi parti politik seperti Umno, terutama ketika PRU16 semakin hampir,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Menurutnya, atas sebab itu, Umno lebih cenderung untuk mendesak PH menyingkirkan mereka daripada kerajaan berbanding mengambil keputusan untuk keluar secara sukarela.
“Jika Kerajaan Perpaduan menyingkirkan Umno, ia akan memberi kelebihan persepsi politik kepada Umno kerana parti itu boleh membina naratif bahawa mereka yang dibuang daripada kerajaan, sekali gus memberi tekanan dan menjejaskan kredibiliti Kerajaan Perpaduan.
“Bagi Umno, sudah tentu lebih baik mereka dibuang daripada mereka sendiri yang keluar. Pertimbangan inilah yang menyebabkan Umno tidak mahu keluar, tetapi sebaliknya mendesak PH untuk mengeluarkan mereka daripada kerajaan,” katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa, pula berkata Umno mempunyai pilihan mengubah pendirian sokongan di Parlimen, namun setiap pilihan itu mempunyai kos politik yang berbeza.
“Desakan supaya PRU16 dipercepatkan boleh dibaca sebagai usaha untuk meningkatkan tekanan dan mendapatkan konsesi politik, bukannya semestinya petunjuk bahawa Umno mahu meninggalkan kerajaan dalam masa terdekat.
“Dalam politik, ancaman untuk menggunakan sesuatu pilihan kadangkala lebih bernilai daripada benar-benar melaksanakan pilihan tersebut, kerana ancaman itu sendiri boleh digunakan dalam proses perundingan,” katanya kepada BH.
Media Malaysia pada 17 Mei lalu pernah melaporkan Datuk Anwar berkata beliau tidak teragak-agak untuk mengadakan PRU lebih awal, sekiranya pertempuran yang dipilih.
Ketika itu, beliau mengulas keputusan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bahawa Umno/BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN Johor 11 Julai lalu, sekali gus menyaksikan pertembungan dengan PH di semua kerusi.
Dr Nur Ayuni meyakini langkah Umno memperkenalkan ‘Agenda Malaysia Biru’ sebagai kerangka dasar nasional berteraskan empat aspirasi: Malaysia Berdaulat dan Bersatu; Inovatif dan Berpendapatan Tinggi, Rakyat Makmur dan Saksama serta Unggul dan Disegani Dunia.
Aspirasi tersebut, katanya, membuktikan Umno membuka satu fasa baharu untuk mencapai cita-cita politik ke Putrajaya.
“Saya melihat Umno/BN masih mempunyai peluang untuk kembali berkuasa pada PRU16, sekiranya strategi yang tepat dapat dirangka dan dilaksanakan. PAU 2026 memperlihatkan usaha parti itu bergerak daripada menjaga kelangsungan kepada pemulihan dan seterusnya kepada pengukuhan semula kekuatan politik,” katanya.
Pandangan sama diutarakan penganalisis politik yang juga Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, bahawa Umno mampu kembali mendominasi Kerajaan selepas PRU16, melihatkan visi parti itu ketika ini, selain PH yang dilihat lemah dengan masalah dalaman.
Di pentas PAU 2026 yang berakhir pada 12 September lalu juga, Datuk Zahid mengesahkan ruang kerjasama dan persefahaman yang terbuka dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) atas dasar perpaduan ummah, selain agenda ‘Malaysia Biru’, yang disusun dalam langkah Umno untuk kembali menerajui Putrajaya.
Menariknya, ruang kerjasama dan persefahaman Umno-PAS yang diusahakan itu ketika Umno – komponen utama BN – masih menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan.
Namun, perkembangan dalam PAU 2026 menunjukkan agenda penyatuan ummah yang turut diangkat PAS dalam Muktamar Tahunan ke-72 parti itu pada awal September lalu, bersifat lebih luas daripada sekadar pembahagian kerusi pilihan raya.
PAS hadir ke PAU 2026 membalas kehadiran Umno ke Muktamar PAS sebelum itu, dengan masing-masing mengangkat agenda penyatuan ummah daripada sekadar slogan politik kepada gerakan politik yang lebih berstruktur menerusi cadangan Himpunan Perpaduan Ummah yang sedang diusahakan dua parti itu.
Walaupun Umno terbuka dengan kerjasama dan persefahaman dengan PAS, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapannya di PAU 2026 turut menegaskan Umno perlu meneroka laluan ke Putrajaya dengan berdiri atas kekuatan sendiri, tanpa bergantung kepada mana-mana rakan kerjasama politik.
Dr Nur Ayuni, yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putraj Malaysia, melihat cabaran utama untuk kerjasama dan persefahaman itu adalah kerana PAS dan Umno beroperasi dalam lingkungan pengundi teras yang hampir sama.
“Oleh itu, persoalan tentang pembahagian kerusi, calon Perdana Menteri, kedudukan parti dalam kerajaan dan pihak yang akan menentukan dasar boleh menjadi lebih rumit daripada persamaan dari segi agenda Melayu/Islam.
“Untuk membolehkan kerjasama atau persefahaman itu bertahan, kedua-dua pihak perlu memberikan tumpuan kepada matlamat yang dapat dipersetujui bersama. Prinsip ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ boleh digunakan terhadap perkara yang belum mencapai kata sepakat.
“Namun, mereka tetap memerlukan kejelasan tentang pembahagian kerusi, kepimpinan, dasar bersama dan kedudukan rakan politik sedia ada.
“Jadi, kerjasama PAS-Umno bukan sesuatu yang mustahil, tetapi jalannya tetap mencabar kerana kedua-duanya sedang membina kekuatan dan bercita-cita menjadi peneraju,” ujarnya.
Di pentas PAU 2026 itu juga, Datuk Zahid menyatakan Umno mahu menguji keikhlasan PAS dalam hubungan dengan Umno di negeri yang ditadbir PAS, dengan dimulakan di Terengganu.
Untuk rekod di Terengganu, PAS menguasai semua 32 kerusi DUN selepas PRN 2023, selain mentadbir Kedah dan negeri kubu kuatnya, Kelantan, dan mendominasi Perlis.
Berikutan itu, Encik Mujibu mengakui ruang kerjasama politik Umno-PAS itu lebih berliku di empat negeri itu.
“Tetapi kalau kita pindahkan kepada penyatuan ummah yang lebih besar, manfaat kepada orang Melayu/Islam itu lebih tinggi. Ia akan lebih sentimental kepada perpaduan Melayu.
“Kalau kita ambil dari sudut mikronya pula dan melihat kerjasama itu diterjemahkan kepada kerusi yang paling penting dalam pilihan raya, saya masih anggap ia kelabu dan kabur, terutama di negeri yang didominasi PAS dan PN yang diterajuinya.
Perwakilan Umno yang ditemui BH pada perhimpunan itu mengharapkan perkembangan yang baik untuk Umno-PAS menjalin kerjasama demi penyatuan ummah.
Namun, Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno bahagian Labis (Johor), Syed Ali Al Kaff, 29 tahun, mengingatkan keperluan penting untuk Umno sentiasa berhati-hati dengan mana-mana rakan kerjasama.
“Alhamdulillah, perkembangan hubungan Umno-PAS selepas PAU 2026 ini adalah positif. Sudah sampai masanya orang Melayu dan umat Islam melihat kepada titik persamaan dan bukan terus mencari perbezaan.
“Tetapi saya juga tidak menafikan kebimbangan bahawa persefahaman politik Umno-PAS mungkin tidak akan mencapai kemuncaknya, terutama di negeri yang mereka (PAS) memegang kuasa
“Cuma kita buat hubungan ini atas nama tafahum siyasi (kerjasama tanpa penggabungan), yang disarankan oleh Majlis Ulama Umno, yang mahu parti mengutamakan rakyat daripada parti. Sebab itu kita melangkaui dan melupakan 'perseteruan’ dulu,” katanya,
Timbalan Pengerusi Tetap Umno bahagian Padang Rengas, Cik Norlehan Alang, 62 tahun, juga bimbang hubungan baru Umno yang kembali bertaut dengan PAS ‘terkubur’, sebagaimana Muafakat Nasional (MN) yang pernah diterajui dua gabungan itu pada 2019.
“Takut awal-awal saja okey, lama-lama bergaduh semula. Sebab kededua parti ada matlamat menerajui negara. Tetapi jika Umno-PAS benar-benar sepakat, insya-Allah hubungan ini boleh kekal lama,” katanya.
