Topik diikuti
Pergi ke BHkuUmno lancar tabung bantu Najib bayar denda RM50 juta
Ahmad Zahid seru kepimpinan, ahli dan penyokong parti menyumbang secara sukarela
Umno lancar tabung bantu Najib bayar denda RM50 juta
KUALA LUMPUR: Umno akan melancarkan tabung sumbangan bagi membantu bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, melunaskan denda RM50 juta ($15.5 juta) yang dikenakan sebagai antara syarat beliau menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kutipan itu akan dilaksanakan secara telus, teratur dan mematuhi semua peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
“Umno mengambil inisiatif melancarkan kutipan Tabung Sumbangan bagi membantu meringankan beban Datuk Najib dalam melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan.
“Umno menyeru seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mereka yang ingin memberikan sokongan agar menyumbang secara sukarela,” katanya dalam kenyataan pada 18 September.
Menurut Datuk Ahmad Zahid, Umno menyambut dengan penuh kesyukuran keputusan yang membolehkan Najib menjalani baki hukumannya menerusi tahanan rumah.
Beliau berkata perkembangan itu amat bermakna kepada Najib dan keluarganya serta seluruh keluarga Umno yang selama ini terus menaruh harapan dan berdoa untuk bekas presiden parti itu.
Datuk Ahmad Zahid turut berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas keputusan berkenaan.
“Umno menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku serta menzahirkan penghargaan atas limpah ihsan baginda.
“Limpah ihsan Tuanku membawa kelegaan yang amat besar buat Datuk Najib dan keluarga serta akan sentiasa dikenang dengan penuh penghargaan oleh seluruh keluarga Umno,” katanya.
Beliau berkata pendirian Umno sejak awal adalah untuk membawa permohonan berkaitan Datuk Najib dengan tertib dan rendah hati menerusi saluran yang ditetapkan.
Menurutnya, penghormatan terhadap institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang akan terus menjadi pegangan parti itu.
Beliau turut menyeru seluruh ahli Umno supaya menyambut perkembangan tersebut dengan rasa syukur, menjaga adab dalam setiap ungkapan serta menghormati semua proses yang ditetapkan.
Sebelum ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri mengumumkan bahawa Datuk Najib diperkenankan pengampunan bersyarat dengan menjalani baki hukumannya secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan terhadap semua syarat yang ditetapkan.
Sekiranya Najib gagal mematuhi mana-mana syarat berkenaan, pengampunan bersyarat itu akan terbatal dan beliau perlu meneruskan baki hukumannya di penjara.
