Topik diikuti
Pergi ke BHkuUmno syukur Najib dapat tahanan rumah, kecam tindakan pemimpin DAP pertikai hukuman
Zahid: keputusan pengampunan bersyarat cerminan kuasa dan hak Perlembagaan Agong, wajib dihormati institusi, rakyat
Umno syukur Najib dapat tahanan rumah, kecam tindakan pemimpin DAP pertikai hukuman
Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, menjalani baki hukuman penjaranya menerusi tahanan rumah berkuat kuasa 10 November, disambut dengan rasa syukur oleh Umno.
Namun perkembangan sama turut mencetuskan kritikan parti itu terhadap tindakan pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang memperlihatkan unsur bantahan yang digambarkan seolah-olah mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, untuk meringankan hukuman terhadap bekas Presiden Umno itu.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dipetik media Malaysia sebagai berkata keputusan berkenaan sangat bermakna kepada barisan kepimpinan serta ahli Umno dan Barisan Nasional (BN), selain mereka yang selama ini mendoakan Encik Najib dapat kembali bersama keluarganya.
“Kami juga menjunjung kasih (berterima kasih) kepada Agong yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan dan memutuskan supaya Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.
“Selain itu, saya berterima kasih kepada keseluruhan kepemimpinan Umno pada semua peringkat, ahli parti dan rakyat Malaysia keseluruhannya yang turut menyumbangkan dana melalui kutipan derma awam hingga mencukupi RM50 juta ($15.74 juta) bagi memenuhi syarat denda yang ditetapkan ke atas beliau,” katanya, memetik laporan Berita Harian Malaysia pada 10 November.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan pada 11 November, Datuk Zahid, yang juga Pengerusi BN, berkata keputusan pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Encik Najib – di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan – adalah cerminan kuasa dan hak Perlembagaan Agong yang wajib dihormati oleh segenap lapisan institusi dan rakyat jelata.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu berkata sebarang tindakan yang diambil mana-mana pihak sebagai bantahan terhadap pengampunan bersyarat diberikan kepada Encik Najib boleh dianggap menderhaka kepada kedaulatan institusi diraja Malaysia.
Kenyataannya itu menyusuli beberapa tindakan dan kekesalan dinyatakan pemimpin DAP termasuk peletakan jawatan Menteri Pengangkutan oleh Setiausaha Agungnya, Encik Anthony Loke, pada 10 November, menyusuli pembebasan Encik Najib daripada Penjara Kajang, Selangor, untuk menjalani baki hukumannya sebagai tahanan di rumah.
Pada masa sama, BN turut mempersoalkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Cik Hannah Yeoh, pemimpin DAP yang menyatakan beliau sepatutnya berundur daripada jawatan berkenaan menyusuli pengampunan bersyarat terhadap Encik Najib.
Ini berikutan beliau adalah antara individu yang menganggotai Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkenaan, atas kapasitinya sebagai Menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Wilayah Persekutuan.
“Umno berpendirian sebarang perbuatan yang memperlihatkan unsur-unsur protes termasuk menjadikan keputusan pengampunan bersyarat yang diperintahkan Agong sebagai alasan sesuatu tindakan diambil, ia boleh membawa maksud kepada mencabar dan menderhaka terhadap kuasa Perlembagaan Tuanku,” kata Datuk Zahid dalam kenyataannya.
Datuk Zahid berkata Umno akan tetap teguh mempertahankan kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.
“Malaysia adalah negara hukum dan selagi mana proses yang melibatkan soal perundangan tertakluk dalam kerangka Perlembagaan, menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk mempertahankannya,” katanya.
Encik Najib, 73 tahun, yang juga bekas Presiden Umno, menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan terhadapnya pada Ogos 2022, selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Bagaimanapun, pada Februari 2024, Mesyuarat Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Ahmad Shah, memberikan pengurangan hukuman penjara kepada enam tahun dan denda RM50 juta kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Pada 18 September 2026, Sultan Ibrahim bersetuju memberikan pengampunan bersyarat kepada Encik Najib, iaitu menjelaskan denda RM50 juta bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Encik Najib dengan bantuan partinya, Umno, melunaskan denda itu pada 6 November, sebelum dibenarkan pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur, pada 10 November, untuk menjalani hukuman tahanan rumah.
Pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Encik Najib mencetuskan reaksi balas oleh DAP yang memutuskan peletakan jawatan Menteri Pengangkutan oleh Encik Loke, berkuat kuasa pada hari Encik Najib menjejakkan kaki ke kediamannya untuk hukuman tahanan rumah.