KUALA LUMPUR: Selepas beberapa hari tertangguh, bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak akhirnya dipindahkan dari Penjara Kajang, di Selangor, ke kediamannya di Taman Duta Kuala Lumpur, berkuat kuasa serta-merta pada 10 November.

Ia untuk bekas Presiden Umno itu menjalani baki hukuman penjaranya melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Keputusan yang melegakan Encik Najib itu selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin, membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda RM50 juta ($15.79 juta) bertarikh 6 November lalu, yang didakwa Jabatan Peguam Negara (AGC) menyebabkan kekeliruan sehingga memaksa penangguhan hukuman tahanan rumah Encik Najib.

"Perintah Pelepasan atas Pembayaran Denda bertarikh 6 November 2026 dengan ini dibatalkan dan digantikan sepenuhnya dengan perintah ini.

“Selaras dengan perintah pengampunan bersyarat, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang dikurangkan itu secara tahanan di rumah di alamat Jalan Langgak Duta, Taman Duta sehingga 23 Ogos 2028,” katanya dalam prosiding klarifikasi perintah pelepasan itu pada 10 November, lapor Harian Metro.

Encik Najib turut hadir ke Mahkamah Tinggi untuk mengikuti prosiding permohonan AGC itu.

Bekas Ahli Parlimen Pahang itu sepatutnya menjalani hukuman tahanan rumah selepas melunaskan denda RM50 juta dengan bantuan partinya, Umno pada 6 November lalu.

Bagaimanapun, AGC memohon penangguhan sementara pelaksanaan hukuman tahanan rumah itu pada 6 November lalu, atas alasan terdapat kekeliruan dan percanggahan tafsiran undang-undang berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat serta perintah mahkamah yang melepaskan Encik Najib. 

Pada pagi 10 November, AGC memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagi mengkaji semula perintah pelepasan membabitkan Encik Najib.

Perkara itu disahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, sambil menjelaskan permohonan itu difailkan berdasarkan perintah yang dikeluarkan mahkamah sama pada 6 November lalu.

Permohonan itu kata Tan Sri Mohd Dusuki bertujuan mendapatkan satu perintah pelepasan baharu, selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat untuk Encik Najib yang dipersetujui Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada 18 September lalu.

Dalam permohonan yang difailkan, AGC memohon mahkamah meneliti semula perintah berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya menepati pengampunan yang diberikan kepada Encik Najib.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, dilaporkan berhujah perintah bertarikh 6 November merekodkan pembayaran denda berkenaan dan mengarahkan pihak penjara membebaskan Encik Najib serta-merta.

Katanya perintah yang dikeluarkan itu bercanggah dengan pengampunan bersyarat terhadap Encik Najib yang dipersetujui Agong menerusi Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-64, pada 18 September lalu.

Peguam Encik Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata anak guamnya berasa lega selepas dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah di kediamannya.

“Ini adalah satu kelegaan besar buat beliau kerana sudah lama menunggu perkara ini,” katanya pada sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi, pada 10 November.

Beliau berkata pegawai penjara akan membacakan syarat tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri itu di Penjara Kajang, sebelum membawanya pulang.

Tan Sri Shafee juga berkata individu yang ingin menziarahi Encik Najib sepanjang dalam tahanan di rumah, perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Penjara Malaysia.

Menyusuli perkembangan tahanan rumah Encik Najib itu, beberapa kenderaan polis memasuki kawasan kediaman keluarganya dan meningkatkan kawalan keselamatan.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta pada 10 November, menyusuli keputusan Mahkamah Tinggi yang telah membenarkan Encik Najib pulang ke rumahnya untuk menjalani hukuman tahanan rumah.

Beliau berkata keputusan itu selaras dengan kenyataannya sebelum ini bahawa peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan akan berkuat kuasa sebaik Encik Najib menjejakkan kaki ke rumahnya untuk menjalani hukuman tahanan rumah.

“Keputusan ini berpegang pada prinsip dan pendirian yang telah saya jelaskan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ikmal Hisham Mohd Tah, berkata keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 November membuktikan saluran kehakiman adalah ruang terbaik kepada penyelesaian terhadap kekeliruan yang dibangkitkan sebelum ini.

Katanya permohonan itu bertujuan memastikan perintah berkenaan selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Agong kepada Encik Najib.

“Prinsip yang perlu diutamakan ialah keputusan pengampunan yang sah hendaklah dilaksanakan tanpa kelewatan yang tidak munasabah, dengan tetap menghormati proses kehakiman dan kedaulatan undang-undang,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Encik Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020, selepas disabit bersalah atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Keputusan itu kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 dan tempoh pemenjaraan Encik Najib bermula.

Namun, pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Ahmad Shah, mengumumkan Encik Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, daripada 12 tahun ke enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 18 September lalu, Sultan Ibrahim, bersetuju memberikan pengampunan bersyarat kepada Encik Najib, untuk bekas Presiden Umno itu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, sekiranya beliau membayar denda RM50 juta itu.