Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha henti miskin tegar di M’sia hampir jaya: Anwar

Jan 17, 2024 | 1:55 PM
CAPAI SASARAN: Menghentikan kemiskinan tegar di Malaysia adalah antara matlamat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang semakin hampir mencapai sasaran.
CAPAI SASARAN: Menghentikan kemiskinan tegar di Malaysia adalah antara matlamat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang semakin hampir mencapai sasaran. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan Malaysia ke arah menghentikan kemiskinan tegar di negara itu semakin hampir mencapai matlamatnya, dengan dua negeri, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan, berjaya mencapai sasaran itu pada 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimanapun, mengakui masih ada laporan mengenai keciciran jumlah miskin tegar di dua negeri berkenaan, tetapi jumlahnya semakin menyusut.

“Kemiskinan tegar ini sudah dinoktahkan di Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan, namun masih ada satu dua keciciran,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia, semasa pelancaran Program Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Putra Malaysia UPM pada 17 Januari.

Kerajaan menetapkan sasaran asal dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menghapuskan miskin tegar menjelang 2025, namun ia dipercepat kepada 2024.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini, kerajaan Malaysia memperuntukkan RM500 juta ($142.5 juta) untuk membasmi kemiskinan menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Pada masa sama, Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM1.5 bilion dalam Kajian Separuh Penggal RMK12 untuk menggerakkan program dan projek yang berdaya menjana pendapatan bagi golongan sasar.

Sementara itu, Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata jemaah menteri Kerajaan Perpaduan akan menyertai rahat kali kedua pada 17 Januari dengan tumpuan utama pada mencari ikhtiar baru bagi melonjakkan ekonomi negara.

Beliau berkata rahat juga akan meneliti pelaksanaan dasar yang dilancarkan kerajaan sepanjang 2023.

“Kita akan lihat juga ke hadapan ini, apa lagi pelaksanaan dasar yang boleh bawa kita terus maju, apa langkah spesifik yang diperlukan.

“Kita sudah ada prakarsa (daya usaha) dari segi peralihan tenaganya (Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara), perubahan digitalnya, pelaburan tetap dan (sekarang) kita nak cari benda baru untuk tingkat kekuatan negara,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Datuk Anwar berkata kerajaan menyasarkan sejuta rakyat akan mengikuti program literasi AI selama empat jam hingga hujung 2024.

Sebagai permulaan, program itu perlu segera dilaksana dan dimulakan kepada pelajar sekolah, penuntut universiti serta penjawat awam.

Program asas mengenai AI itu terbuka kepada rakyat sebagai usaha perubahan digital yang sedang dijalankan kerajaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg