JASIN (Melaka): Seorang bekas pemandu bas ekpres dan teman wanitanya direman empat hari bermula 16 April bagi membantu siasatan berhubung video tular babitkan seorang lelaki meriba wanita ketika memandu di Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, dekat Bemban, Melaka.

Majistret Mazana Sinin membenarkan permohonan reman terhadap kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 21 dan 36 tahun sehingga 19 April ini, lapor Berita Harian Malaysia.

Kedua-duanya yang memakai pakaian lokap dan bergari tiba di perkarangan Mahkamah Jasin kira-kira 9 pagi.

Media sebelum ini melaporkan ketika kejadian, bas terbabit sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Larkin, Johor Bahru menuju susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemban kira-kira 7.30 malam, 12 April.

Terdahulu, pada 15 April, bekas pemandu bas ekspres dan wanita yang dikaitkan dalam kejadian berkenaan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bagi memberi keterangan.

Lelaki berasal dari Kuala Lumpur manakala wanita dari Kedah itu, dilihat tiba kira-kira 4.30 petang, dengan menaiki kereta Proton Persona yang dipandu individu lain dipercayai ahli keluarga.

Kehadiran mereka yang sedondon memakai pelitup muka berwarna biru, dipercayai bagi membantu siasatan berhubung rakaman video tular terbabit, yang mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan penumpang.

Ketika memberikan kenyataan, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata wanita yang terbabit dalam video tular diriba pemandu bas memberi alasan melakukan perbuatan itu kerana teruja dan minat untuk memandu bas.

Wanita itu yang berasal dari Kedah, bekerja sebagai kerani kaunter tiket bas di syarikat berasingan, memaklumkan berkenalan dengan teman lelakinya sejak Disember 2025.

Kedua-dua mereka diambil keterangan kira-kira dua jam dan ditahan pada 15 April, sebelum permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Jasin pada 16 April.

“Berdasarkan pengakuan lisan, lelaki yang mempunyai pengalaman 10 tahun sebagai pemandu bas memaklumkan insiden itu berlaku dalam tempoh beberapa minit sebelum memasuki laluan utama lebuh raya,” kata Encik Lee.