Penurunan video muzik terbaru kumpulan pop Malaysia, Dolla, daripada wadah digital selepas kontroversi berkaitan aksi dan pakaian menjolok mata mencetuskan perhatian ramai terhadap isu pematuhan undang-undang syariah dalam industri hiburan.
Aksi dan pakaian tidak sopan yang digayakan tiga anggota Dolla termasuk seorang yang beragama Islam dalam video muzik lagu Question itu telah mengundang kritikan dan teguran ramai terhadap kumpulan wanita itu, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Datuk Dr Mohd Na’im dalam nada tegas menyifatkan pakaian kumpulan itu sebagai tidak sesuai, selain tidak menghormati sensitiviti budaya dan agama di Malaysia, serta meneliti kemungkinan mengenakan tindakan jenayah syariah terhadap ahli kumpulan itu yang beragama Islam.
Walaupun ramai bersetuju penampilan tidak sopan selebriti Malaysia dalam persembahan sedemikian tidak wajar, kenyataan beliau turut mencetuskan reaksi bercampur-campur.
Sebahagian pihak, termasuk aktivis hak asasi, pemain industri dan pakar, dilihat kurang bersetuju dengan cadangan untuk mengenakan tindakan jenayah syariah terhadap anggota Dolla yang beragama Islam, Sabronzo, atau nama sebenarnya, Wan Sabrina Wan Rusli, 30 tahun, namun ada juga pihak bersetuju dengan tindakan itu.
Peguam, Cik Latheefa Koya daripada kumpulan pemantau hak asasi Lawyers for Liberty, dilapor menyifatkan kenyataan menteri yang mengancam untuk mendakwa selebriti Muslim terbabit memberikan gambaran salah tentang penguatkuasaan syariah di Malaysia dan melampaui batas pentadbiran undang-undang syariah.
Ketua Pengajian Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Juriani Jamaludin, berkata tindakan menarik balik video muzik menyusuli kritikan terhadap penampilan Dolla dianggap wajar bagi menghormati budaya dan sensitiviti tempatan, namun cadangan mahu mengenakan tindakan jenayah syariah terhadap artis Muslim berpakaian menjolok mata perlu diteliti dengan lebih berhati-hati.
“Pakaian terlalu menjolok mata dalam muzik video boleh menimbulkan reaksi negatif serta menjejaskan imej artis, selain memberi gambaran buruk terhadap Malaysia sebagai negara Islam yang menitikberatkan adab dan tatasusila.
“Industri hiburan pula memerlukan ruang kreativiti. Jika hukuman syariah dikuatkuasakan secara keras, ia boleh menimbulkan ketakutan dalam kalangan artis dan menyekat perkembangan seni,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Menurutnya, artis Muslim memang perlu menjaga imej sebagai figura awam, namun beliau percaya pembentukan nilai lebih berkesan melalui pendidikan, bimbingan moral dan pembangunan karakter, bukan hukuman yang terlalu berat.
“Kreativiti tidak boleh berkembang jika persekitaran terlalu menghukum, tetapi ia boleh berkembang dalam persekitaran yang jelas dari segi garis panduan, adil dari segi penguatkuasaan dan matang dari segi budaya kreatif.
“Pendekatan berasaskan pendidikan, dialog, garis panduan yang jelas dan pemerkasaan etika lebih sesuai untuk mengekang kejadian sama berulang pada masa depan,” katanya lagi.
Mengulas tahap pematuhan artis terhadap garis panduan persembahan, beliau berkata Malaysia sebenarnya sudah mempunyai pelbagai peraturan, termasuk Garis Panduan Penyiaran dan syarat ketat oleh stesen televisyen atau penganjur acara, namun pelaksanaannya masih tidak konsisten.
“Jurang antara nilai setempat dan ekspresi seni global ini sering menyebabkan salah faham tentang apa yang sesuai dipersembahkan,” katanya.
Menurutnya, ramai artis muda tidak didedahkan secara formal kepada etika persembahan, sama ada dari aspek budaya, agama atau norma masyarakat, maka pendidikan dan kesedaran yang lebih sistematik diperlukan bagi memastikan artis baru lebih peka terhadap sensitiviti Malaysia.
Selain itu katanya, ketidakseragaman penguatkuasaan antara platform turut mengelirukan industri.
“Peraturan di stesen televisyen lebih ketat, sementara di platform digital seperti YouTube pula longgar. Apabila standard berbeza-beza, pemain industri tidak pasti apa garis merah sebenar,” katanya sambil menegaskan perlunya pemantauan menyeluruh merentasi semua jenis platform.
Selain Sabronzo, Dolla yang terkenal dengan imej seksi dibarisi dua ahli bukan Muslim, iaitu Tabby (Tabitha Ariel Lam Lianne) dan Angel (Angeline Chai Ka Ying).
Sebelum ini label muzik Dolla, Universal Music Malaysia (UMM) dalam kenyataan pada 15 November, menarik balik video itu daripada semua platform digital untuk melindungi sensitiviti pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
Video muzik selama 3 minit 19 saat itu menampakkan tiga anggotanya berpakaian mendedahkan sebahagian tubuh dengan rentak tarian tidak sopan dan menjolok mata.
Sejak penubuhannya pada 2019, Dolla sudah beberapa kali mencetus kontroversi berkaitan aksi tarian dan pemakaian yang tidak bersesuaian dengan norma masyarakat Malaysia.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Encik Muhamad Hisham Marzuki, pula berpandangan tindakan berbentuk hukuman adalah wajar dipertimbangkan memandangkan garis panduan hiburan untuk umat Islam yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah lama wujud dan diketahui dalam kalangan artis.
Menurutnya, langkah tegas diperlukan kerana isu berkaitan moral dan kesopanan bukan perkara baru, malah menjadi asas penting dalam masyarakat di Malaysia.
“Tindakan ini menunjukkan bahawa isu moral perlu ditangani dengan lebih serius bagi memastikan prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam Rukun Negara terus diamalkan oleh semua agama, budaya dan kaum di Malaysia,” katanya kepada BH.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Encik Zed Zaidi, pula berkata kerajaan perlu terlebih dulu memperjelaskan garis panduan dan undang-undang berkaitan etika berpakaian artis di Malaysia, sebelum mengambil sebarang tindakan.
Encik Zed menekankan keperluan mendesak untuk kementerian berkaitan berkomunikasi secara lebih teratur dengan pemain industri dalam memperjelaskan garis panduan pemakaian artis yang masih kabur ketika ini.
“Yang ada ketika ini hanyalah garis panduan berkaitan penerbitan filem. Untuk aspek berpakaian, tidak pernah ada perbincangan garis panduan tertentu yang dimaklumkan kepada artis atau persatuan. Walaupun kita tahu wujud etika tertentu, kita tidak tahu ia di bawah akta atau peraturan yang mana.
“Sepatutnya pihak kementerian memberikan penjelasan jelas mengenai garis panduan pakaian untuk artis. Libat urus dengan persatuan seperti Seniman penting supaya kami boleh menyampaikan maklumat ini kepada ahli dan memastikan ia dipatuhi,” katanya ketika dihubungi BH.
Memberi contoh Garis Panduan Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) yang menggariskan kod berpakaian yang jelas untuk artis luar negara yang membuat persembahan di Malaysia, namun katanya garis panduan serupa bagi artis tempatan tidak pernah diperincikan.
Bagaimanapun beliau bersetuju dari sudut moral, bahawa artis sebagai figura awam perlu sensitif terhadap nilai agama, budaya dan masyarakat.
“Cara berpakaian adalah pilihan artis. Jika baik, mereka mendapat pujian, jika sebaliknya, mereka menanggung kesannya. Namun, pihak produksi juga memainkan peranan penting kerana mereka mengetahui peraturan berkaitan etika seperti ini,” ujar Encik Zed.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg