Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wajah Tunku Azizah dimanipulasi guna AI tawar bantuan palsu di TikTok

Sep 9, 2025 | 12:00 PM
Malaysia, Pahang, Istana Pahang, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, AI, kecerdasan buatan
Kesultanan Pahang nafi maklumat tular di TikTok bahawa Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, tawar bantuan kepada orang ramai. - Foto FACEBOOK KESULTANAN PAHANG

KUANTAN (Pahang): Istana Pahang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pernah menawarkan sebarang bentuk bantuan kepada orang ramai melalui platform TikTok.

Penafian itu dibuat susulan kewujudan sebuah akaun TikTok menggunakan nama ‘Datuk Muhammad Yusuf’ yang dikesan memperdaya orang ramai dengan memanipulasi wajah Tunku Azizah melalui teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Istana Pahang menegaskan bahawa perbuatan tersebut adalah cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej institusi diraja,” menurut Istana Pahang dalam kenyataan di Facebook pada 8 September, lapor portal berita, Buletin TV3.

Justeru, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati, menilai kesahihan maklumat dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu yang tular di media sosial.

Masyarakat juga digesa segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya dihubungi atau menerima mesej mencurigakan yang menggunakan nama Tengku Ampuan Pahang.

Ini bukan kali pertama imej orang kenamaan (VVIP) dimanipulasi menggunakan teknologi AI, kononnya menawarkan bantuan kepada orang ramai di TikTok menggunakan akaun yang menggunakan gelaran datuk.

Pada 21 Julai lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan video selama 32 saat yang tersebar di TikTok, memaparkan imej janaan AI melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang juga kekanda (abang) kepada Tunku Azizah adalah palsu dan sebahagian daripada penipuan bantuan kewangan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata video itu dikongsi melalui akaun TikTok @datukzulkarnain77.

Katanya ia secara palsu menggambarkan Sultan Ibrahim menyatakan galakan buat rakyat Malaysia yang menghadapi masalah kewangan untuk menghubungi individu bernama Datuk Zulkarnain untuk mendapatkan bantuan.

Video berkenaan memaparkan seolah-olah Sultan Ibrahim bercakap mengenai tawaran bantuan kewangan kepada rakyat, dan menggesa mereka yang mengalami masalah kewangan supaya menghubungi individu dikenali sebagai Datuk Zulkarnain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg