Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Akibat satu klik sahaja doktor terjebak dalam perangkap penipuan

Aug 19, 2025 | 5:17 PM
Kesedaran sahaja tidak cukup untuk terus selamat daripada penipuan. Ia memerlukan perubahan dalam cara kita berkelakuan dan berfikir di alam maya.
Kesedaran sahaja tidak cukup untuk terus selamat daripada penipuan. Ia memerlukan perubahan dalam cara kita berkelakuan dan berfikir di alam maya. - Foto ISTOCKPHOTO

Beberapa minit selepas Dr Chai Chwan mengklikkan pautan dalam mesej Telegram daripada seorang kenalan, telefon beliau berdering tanpa henti.

Sejumlah besar mesej Telegram membanjiri telefon bimbit Dr Chai. Lebih daripada 10 rakannya menanyakan soalan mendesak yang sama kepada pakar perubatan berusia 60 tahun itu: “Apakah akaun Telegram awak digodam?”

Mereka semua menerima mesej Telegram yang sama yang dihantar daripada nombor telefon Dr Chai.

Ia mengandungi pautan yang menjemput penerima memohon dana bantuan We Care @ North East, sebuah skim rasmi oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East yang menyediakan sokongan kewangan kepada keluarga memerlukan.

Teks itu mendakwa terdapat tawaran “masa terhad” untuk rakyat Singapura menerima sehingga $1,000 dalam bentuk bantuan tunai dan menggesa penerima supaya tidak “terlepas peluang”.

Ketika itulah Dr Chai sedar beliau telah menjadi mangsa penipuan phishing, atau pancingan data. Ternyata akaun Telegram Dr Chai telah digodam.

Dalam penipuan pancingan data, mangsa diperdaya supaya menekan pautan mencurigakan atau mendedahkan maklumat peribadi.

Penipuan itu berlaku pada satu petang Sabtu pada Julai. Hanya 10 minit sebelum itu, Dr Chai menerima pautan tersebut daripada seorang kenalan. Tanpa berfikir panjang, beliau menekannya.

Laman yang dikunjungi menyerupai halaman log masuk Singpass. Dr Chai mengimbas kod QR tersebut, namun hanya mesej ralat terpapar.

Mesej itu menyelamatkan Dr Chai daripada menyerahkan data peribadinya, tetapi ia tidak menghalang penjenayah mengambil alih akaun Telegram beliau.

Dalam beberapa minit, mesej penipuan yang sama dihantar kepada kenalan Telegram Dr Chai, kali ini menggunakan namanya.

Apa yang berlaku setelah itu adalah usaha tergesa-gesa untuk melaporkan insiden tersebut kepada polis dan Telegram. Dr Chai juga menghabiskan sepanjang Ahadnya menghantar mesej amaran secara berkelompok kepada semua 7,000 kenalan telefon beliau, dengan harapan dapat membendung kesan buruk (yang mungkin berlaku).

Beliau tidak pasti berapa ramai rakannya menerima teks pancingan data itu di Telegram.

“Saya benar-benar berasa kesal,” ujarnya.

“Sepatutnya, perkara begini (tidak menekan pautan tersebut) sudah menjadi pengetahuan asas,” tambah beliau.

Dengan penipuan semakin canggih, adalah sukar mengesan cubaan pancingan data, kata Timbalan Pengarah Pusat Analisis Ancaman Siber Kebangsaan, Agensi Keselamatan Siber (CSA), Encik Luke Ho.

Dalam Kajian Kesedaran Keselamatan Siber 2024 oleh CSA, hanya 13 peratus responden dapat membezakan antara semua kandungan pancingan data dengan kandungan sah.

Kajian itu meninjau 1,050 responden berumur 15 tahun ke atas tentang sikap mereka terhadap insiden siber serta kesedaran dan amalan keselamatan siber yang baik.

Taktik semakin canggih

Mengapa semakin sukar mengesan penipuan pancingan data?

Salah satu sebabnya ialah penggunaan kecerdasan buatan (AI) generatif oleh penjenayah, kata Encik Ho.

“Penjenayah kini (boleh) mencipta kandungan yang semakin sukar dibezakan daripada yang sah,” jelas beliau.

Menurutnya, era mesej pancingan data mudah dikesan melalui tatabahasa lemah atau frasa janggal telah berlalu.

Penjenayah siber sekarang turut menggunakan pengesahan keselamatan, yang dipaparkan sebagai “https” dalam URL, bagi menjadikan laman web palsu mereka kelihatan sah.

Encik Ho menekankan bahawa penjenayah gemar mengeksploitasi emosi, misalnya rasa tidak mahu terlepas peluang atau tekanan palsu seperti yang dialami Dr Chai. Kaedah ini mendorong mangsa bertindak terburu-buru tanpa menilai dan menyemak kesahihan mesej yang diterima.

Ambil tindakan

Untuk terus selamat daripada penipuan memerlukan lebih daripada sekadar kesedaran, kata Encik Ho. Ia memerlukan perubahan dalam cara kita berkelakuan dan berfikir di alam maya.

Beliau berkongsi beberapa tindakan yang boleh diambil untuk melindungi diri kita daripada penipuan pancingan data:

– Tetapkan kata laluan kukuh dan aktifkan pengesahan dua faktor – seperti gunakan ciri biometrik, seperti cap jari atau pengecaman wajah – untuk akaun dalam talian anda

– Pastikan peranti anda dilengkapi versi terkini perisian dengan kemas kini dilakukan secara automatik

– Muat turun aplikasi ScamShield untuk tapis mesej dan sekat panggilan penipuan

– Muat turun aplikasi antivirus untuk kesan dan sekat perisian hasad, serta pautan pancingan data berbahaya

Jika anda tidak pasti atau ragu-ragu sama ada sesuatu itu penipuan, “sentiasa semak dengan sumber rasmi dengan menghubungi talian bantuan ScamShield yang beroperasi 24/7 di talian 1799”, nasihat Encik Ho.

“Anda juga boleh mendapatkan pandangan ahli keluarga atau rakan sebelum mengambil sebarang tindakan,” tambah beliau.

Bagi Dr Chai, keresahan akibat penipuan pancingan data itu masih belum rena sepenuhnya.

“Sentiasa ada rasa tidak selesa,” ujar beliau sambil berkata ia disebabkan kebimbangan penjenayah mungkin masih mempunyai maklumat peribadinya yang lain.

Walaupun akaun banknya masih selamat, Dr Chai telah mengambil langkah tambahan untuk melindungi dirinya.

Beliau telah memuat turun aplikasi ScamShield bagi membantu menyekat nombor dan mesej penipuan yang dilaporkan, sekali gus memberikan sedikit ketenangan pada dirinya.

Anda dinasihatkan untuk terus berhati-hati. Jangan jadi mangsa pancingan data.
Anda dinasihatkan untuk terus berhati-hati. Jangan jadi mangsa pancingan data. - Adaptasi Grafik Berita Minggu
Lindungi diri anda dan kongsi panduan antipenipuan terkini bersama keluarga dan rakan-rakan.
Lindungi diri anda dan kongsi panduan antipenipuan terkini bersama keluarga dan rakan-rakan. - Adaptasi Grafik Berita Minggu
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg