IPOH: “Ada yang persoalkan kenapa kerja dalam bidang ini sedangkan saya perempuan tapi saya teruskan kerana minat dan niat nak cari duit untuk menyara anak”.
Itu kata Cik Irzunika Idris, 39 tahun, dari Batu Gajah, di sini yang mencari rezeki sebagai pemandu treler sejak bergelar ibu tunggal pada 2020.
Menurutnya, beliau memilih kerjaya didominasi lelaki itu kerana sudah lama menyimpan keinginan menjadi pemandu lori dan treler walaupun sedar ia tidak semudah disangka.
“Ayah dulu pemandu lori... jadi saya terinspirasi dan datang minat jadi pemandu lori sebab tengok ayah.
“Saya pun suka buat benda yang lasak jadi kerja ini memang kena dengan jiwa saya.
“Mulanya, Emak risau juga bila saya kata nak jadi pemandu lori dan tanya kenapa buat kerja lelaki. Tapi saya yakinkannya dan sekarang Emak sudah okay kerana nampak saya serius,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Berkongsi pengalamannya, ibu tiga anak itu berkata cabaran awalnya ketika tiga bulan pertama menjadi pemandu kerana perlu menyesuaikan diri dengan banyak perkara.
“Mulanya kekok juga nak memandu kerana bukan mudah nak kendalikan stereng, mengundur serta meletak treler di ruang sempit.
“Tapi disebabkan minat, saya tak putus asa dan cabaran awal lain adalah waktu lori rosak di lebuh raya.
“Lama kelamaan saya sudah biasa, dulu saya memandu lori bermuatan ringan sebelum bawa treler,” katanya.
Cik Irzunika berkata sebagai pemandu treler, kebanyakan masanya dihabiskan di atas jalan raya jadi sering kali berjauhan dengan dua anaknya.
“Balik rumah pun dalam satu hingga tiga jam dulu sebelum keluar semula pergi kerja.
“Begitulah rutin harian saya dan bila memandu sendirian, sedih juga memikirkan anak tapi mereka faham... syukur juga kerana Emak bantu jaga anak waktu saya tiada di rumah.
“Itu cabarannya tapi yang seronok bila dapat pusing merata negeri seterusnya merasai makanan di tempat orang,” katanya.
Selagi ada kudrat, Cik Irzunika mahu terus mencari rezeki sebagai pemandu treler dan berharap dipertemukan dengan lelaki yang memahami minatnya jika ditakdirkan berkahwin lagi.
“Nak teruskan kerana kerjaya sebagai pemandu treler sudah sebati dengan saya malah hasil pendapatan itu juga dapat belikan anak apa yang mereka mahu.
“Minat itu juga sebabnya saya kongsi video rutin kerja di TikTok selain nak beri inspirasi kepada wanita lain.
“Ramai beri maklum balas positif dan tanya macam mana nak jadi pemandu tapi ada juga kecam serta persoalkan hanya kerana saya wanita,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg