Nama Cik Zurenawatte Zaidil cukup sinonim dalam industri kraf tangan lantaran kejayaannya membina jenama gah dalam industri pembuatan manik seramik.
Produk manik seramik berjenama Ennaz hasil tangan wanita berusia 51 tahun itu sering mendapat ruang pada pameran Hari Kraf Kebangsaan di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.
Selain menjelajah seluruh negara untuk mempromosikan manik seramik, beliau turut membawanya ke pasaran dunia menerusi pameran yang diadakan di beberapa negara luar antaranya di Brunei, Taiwan dan Singapura.
Selepas kejayaan membina nama dalam industri kraf tangan, kini beliau membuka langkah baru dengan menjadi pemain industri pembuatan kasut, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menetapkan sasaran, membina industri kasut di Sarawak dan mengembangkannya ke peringkat antarabangsa.
Mungkin ada tersenyum sinis mendengar cita-cita usahawan kelahiran Jalan Kulas di Kuching yang masih baru dalam industri kasut itu, namun apabila melihat rakan kolaborasinya, pasti ramai akan terpegun.
CIk Zurenawatte berhasrat membina empayar industri kasut bersama legenda fesyen, Datuk Dr Jimmy Choo, yang juga mentornya dalam pembuatan kasut wanita.
Katanya, kerjasama dengan Jimmy bermula apabila beliau menyertai kursus pembuatan kasut wanita di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di Santubong, pada 2024.
Beliau antara kumpulan pertama pelajar yang menyertai kursus kendalian pereka kasut tersohor itu.
“Saya menjalani kursus teori di kelas selama enam bulan, seterusnya latihan industri tiga bulan dan tamat kursus saya dipilih sebagai pelajar terbaik.
“Hujung tahun lalu (2024), saya bersama tiga lagi pelajar dipilih untuk menjalani latihan lanjutan di Italy dan kami menimba ilmu pembuatan kasut di negara itu selama dua minggu,” katanya.
Sekembalinya ke tanah air, Cik Zurenawatte terus mempraktikkan kemahirannya menghasilkan kasut eksklusif mengikut tempahan pelanggan.
“Berikutan saya juga mengusahakan manik seramik, saya gunakan manik itu untuk menaikkan lagi daya tarikan pada kasut dan idea itu menerima maklum balas baik daripada pelanggan.
“Ramai pelanggan mahukan rekaan eksklusif meminta saya menghasilkan kasut bertatahkan manik seramik,” katanya.
Cik Zurenawatte berkata antara pelanggan kenamaan yang menempah kasutnya ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Katanya, kasut buatannya dijual antara RM500 hingga lebih RM1,000 sepasang.
Bagi mencapai hasrat membina industri kasut bersama Jimmy dan seorang lagi rakan, beliau kini membantu pereka itu mengendalikan kelas di akademi Centexs Santubong.
“Tujuannya, kami mahu melahirkan lebih ramai mereka yang berkemahiran dalam pembuatan kasut yang menjadi kunci utama untuk kita mengembangkan industri kasut Sarawak.
“Jika tidak membuka perusahaan sendiri, mereka boleh memanfaatkan kemahiran untuk bekerja dalam perusahaan berkaitan,” katanya.
Mengimbau pembabitannya dalam bidang keusahawanan, Cik Zurenawatte berkata beliau bermula dengan menjual burger kaki lima di Tebingan Kuching pada 1998.
Pada masa sama, beliau turut berkecimpung dalam sektor perkhidmatan dengan menjalankan perniagaan khemah pasang siap, menyediakan khidmat katering dan sistem pembesar suara untuk majlis keramaian.
Beliau kemudian menceburi industri kraf tangan dengan menghasilkan barangan seramik pada 2008 selepas tertarik dengan produk manik yang dihasilkan masyarakat peribumi di Lawas, di utara Sarawak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg