MUAR: Seorang wanita berusia 34 tahun maut selepas dipercayai dikelar suaminya dalam kejadian tragis di rumah mereka di Bukit Gambir, Tangkak, pada 2 Jun malam.
Suspek, 33 tahun, kemudiannya dipercayai pergi ke rumah mentuanya di Lenga, Muar – kira-kira 40 kilometer dari lokasi kejadian – dan cuba membakar kediaman berkenaan.
Cubaan tersebut bagaimanapun tidak berjaya, namun suspek sempat membakar beberapa kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah itu.
Suspek kemudian berjaya diberkas polis selepas pulang ke kediamannya di Bukit Gambir kira-kira 7 pagi 3 Jun.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib, mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti masa sebenar kejadian serta motif tindakan suspek.
“Suspek dan mangsa dipercayai mempunyai masalah keluarga. Hasil semakan air kencing mendapati suspek negatif daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.
Tambahnya, suspek juga pernah menjalani pemeriksaan mental, namun keputusan pemeriksaan tersebut masih belum diketahui.
Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak pada 4 Jun dan dibenarkan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 kerana melakukan khianat dengan api.
Sementara itu, polis Tangkak turut melaporkan satu kes penipuan telefon melibatkan seorang wanita berusia 58 tahun yang kerugian lebih RM100,000 ($30,330).
Dalam kejadian berasingan pada 1 Jun, mangsa dipercayai menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pegawai polis.
“Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kes penipuan pelaburan dan pinjaman tidak wujud.
“Akibat panik, mangsa telah diperdaya untuk memindahkan wang simpanannya ke dalam dua akaun pihak ketiga yang disyaki akaun ‘keldai’ (mule account) melalui 16 transaksi berasingan. Jumlah kerugian yang dialami adalah sebanyak RM108,520,” katanya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.
Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya kepada panggilan mencurigakan daripada individu yang menyamar sebagai pihak berkuasa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg