“Saya selalu ingatkan diri, anak ini adalah pemberian Allah swt dan Dia berhak mengambilnya semula,” kata Cik Nur Farihah Meor Mazli.
Cik Nur Farihah, 29 tahun, ialah ibu kepada Muammar Adli berusia tujuh bulan, yang ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska di Taman Danau Kota di Kuala Lumpur sebelum disahkan meninggal dunia pada 26 Mei.
Difahamkan, bayi itu dihantar ke taska berkenaan sejak Mac lalu.
Cik Nur Farihah berkata beliau reda dengan pemergian anak tersayang namun kesedihan itu masih dirasai sehingga kini dan masih dalam fasa untuk menerima kenyataan perit itu.
“Saya masih teringat memori bersama anak. Cuma saya sentiasa ingatkan diri bahawa anak ini adalah pemberian Allah dan Dia berhak ambil semula. Bayi masih tidak berdosa. Itu yang menjadi pujukan diri,” katanya ketika dihubungi Berita Harian Malaysia pada 28 Mei.
Bagaimanapun katanya, beliau berharap kematian anaknya itu mendapat keadilan sewajarnya.
Katanya, beliau turut berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan secara telus berhubung kejadian berkenaan.
Terdahulu, Muammar ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska di Taman Danau Kota, pada 26 Mei, sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 11.08 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab, dilaporkan berkata kejadian dipercayai berlaku antara 9 pagi dengan 11 pagi.
Polis menerima laporan berhubung kejadian daripada bapa mangsa di Balai Polis Setapak pada 1.26 tengah hari, hari sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg