JERANTUT (Pahang): Seorang wanita cedera setelah dihempap papan tanda yang tercabut dek diterbangkan angin kencang dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Tok Gajah pada 2 Mac.
Menurut laporan media tempatan, mangsa, G Muniammah, merupakan pekerja di syarikat pembersihan dan berusia 57 tahun.
Beliau mengalami lebam di mata dan dahi serta patah tulang belikat akibat kejadian tersebut.
Video kejadian yang menimpa wanita itu tular di media sosial selepas dikongsi warga net dan mendapat perhatian pihak polis.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azman Mat Kamis, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 5 petang dalam keadaan cuaca hujan lebat dan angin kencang.
Menurutnya, mangsa sedang menunggang motosikal melepasi lampu isyarat hijau di persimpangan lampu isyarat terbabit apabila kejadian berlaku.
Dalam satu kenyataan pada 3 Mac, beliau berkata: “Secara tiba-tiba sebuah papan tanda tercabut akibat ditiup angin kencang sebelum menghempap mangsa.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Jerantut untuk menjalani rawatan lanjut selepas kejadian.”
Pihak keluarga mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian. Namun, siasatan lanjut tidak diteruskan kerana kejadian adalah disebabkan bencana dan bukan kemalangan jalan raya, kata beliau. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg